
LUMUT, 11 Oktober – Tiada keperluan mendesak untuk membawa pulang pelajar Malaysia dari Arab Saudi susulan insiden serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid pada Sabtu.
- Serangan mengorbankan 12 orang dan mencederakan 309 lagi.
- Pemantauan rapi dijalankan di Madinah dan Makkah bagi mengelakkan risiko keselamatan.
- Tiada laporan membahayakan pelajar Malaysia; KPT bekerjasama Kementerian Luar untuk nilai tindakan lanjut.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, serangan berkenaan mengorbankan 12 orang dan mencederakan 309 yang lain.
Pemantauan dilakukan di beberapa kawasan, khususnya Madinah dan Makkah bagi mengelakkan sebarang risiko yang boleh menjejaskan keselamatan nyawa.
“Setakat ini, belum ada keperluan untuk membawa pulang pelajar Malaysia dari Arab Saudi. Namun, pemantauan rapi perlu dilakukan kerana pelajar kita berada di beberapa lokasi, termasuk Madinah dan Mekah.
“Bagaimanapun, tiada laporan mengenai keadaan yang boleh membahayakan mereka dan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Bantuan Pendidikan Bersasar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Dewan Mohd Anwar, TVETMARA, di sini hari ini.
KPT akan meneruskan kerjasama dengan Kementerian Luar bagi memantau keselamatan pelajar Malaysia di Arab Saudi dan menilai keperluan tindakan lanjut berdasarkan perkembangan semasa.