Indonesia lepas lapan orang utan ke hutan simpan

Gambar Hiasan / RTM

JAKARTA, 11 Oktober – Lapan ekor orang utan yang diselamatkan daripada kebakaran hutan di Pulau Borneo baru-baru ini telah dilepaskan ke Hutan Simpan Batu Nyambu, sebuah rizab perlindungan seluas 23,000 hektar.

RINGKASAN BERITA AI
  • YIARI tekankan perlindungan habitat kekal sebagai keutamaan; penyelamatan sementara perlu untuk elakkan kepupusan.
  • Rizab dipilih kerana sumber makanan dan air mencukupi serta sambungan ke hutan lain bagi kesinambungan hidup orang utan.
  • Kebakaran hutan, diperburuk El Nino dan pembakaran terbuka, mengancam habitat, cetus jerebu dan masalah pernafasan serantau.

Kumpulan primat berkenaan, yang terdiri daripada tiga pasangan ibu dan anak serta dua ekor jantan remaja, dipindahkan dari beberapa kawasan terjejas di Kalimantan Barat.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inisiasi Alam Rehabilitasi Indonesia (YIARI), Karmele Llano Sanchez, dalam satu kenyataan memaklumkan pemindahan haiwan berkenaan ke lokasi baharu merupakan langkah perlu apabila habitat asal mereka tidak lagi selamat.

“Perlindungan habitat kekal keutamaan kami bagi menjamin persekitaran yang selamat buat orang utan. Namun, selagi ancaman berterusan, tindakan menyelamatkan haiwan ini adalah pilihan terbaik bagi memastikan spesies ini tidak kepupusan,” katanya.

Pengarah Operasi YIARI, Argitoe Ranting pula menjelaskan bahawa kawasan rizab berkenaan dipilih kerana mempunyai sumber makanan dan air yang mencukupi serta terhubung dengan kawasan hutan lain.

“Kami mahu memastikan orang utan yang diselamatkan tidak sekadar dipindahkan dari satu tempat ke tempat lain, tetapi mempunyai peluang untuk terus hidup di habitat semula jadi mereka,” katanya.

Terdahulu, pihak berkuasa bersama YIARI telah menyelamatkan sebanyak 46 ekor orang utan daripada ancaman kebakaran antara Ogos hingga 9 Oktober.

Spesies orang utan kini dikategorikan sebagai amat terancam.

Mengikut data Tabung Hidupan Liar Dunia (WWF), dianggarkan hanya tinggal kira-kira 104,000 ekor orang utan di Borneo dan Sumatra, berbanding lebih 230,000 ekor pada abad lalu.

Bulan lepas, Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semulajadi (IUCN) memberi amaran bahawa kebakaran yang berlaku kini menjejaskan habitat yang menempatkan sehingga 52 peratus daripada keseluruhan populasi orang utan di Borneo.

Indonesia kerap berdepan isu kebakaran hutan ketika musim kemarau, namun keadaan menjadi lebih buruk tahun ini akibat fenomena cuaca El Nino yang dicatatkan antara yang terkuat dalam tempoh empat dekad.

Selain itu, pakar turut mengaitkan fenomena berkenaan dengan amalan pembakaran terbuka bagi pembersihan tanah.

Bencana kebakaran tersebut turut mencetuskan jerebu teruk yang menyebabkan puluhan ribu penduduk mengalami masalah pernafasan, di samping merosotkan kualiti udara di negara-negara jiran termasuk Malaysia. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.