
ISTANBUL, 11 Oktober – Sekurang-kurangnya dua orang awam terbunuh manakala 16 lagi cedera pada Sabtu dalam bedilan artileri oleh Kumpulan Houthi di beberapa kawasan di Wilayah Taiz, barat daya Yaman, menurut Kementerian Dalam Negeri Yaman, lapor Anadolu Ajansi.
- Kumpulan Houthi melancarkan bedilan artileri ke beberapa kawasan di Taiz termasuk Al-Nawazil, Al-Qasr, Al-Dhabab dan pos pemeriksaan Al-Hangar.
- Briged Ke-22 memaklumkan pasukan kerajaan dan Popular Resistance berjaya menangkis serangan di Al-Shaqab, memusnahkan kenderaan dan lancarkan serangan dron balas.
- Konflik meningkat sejak Julai, paling sengit sejak gencatan senjata dibawa oleh PBB April 2022, dan Houthi masih belum mengulas.
Kementerian itu memaklumkan bahawa tiga kanak-kanak, enam wanita dan beberapa warga emas adalah antara yang tercedera dalam serangan berkenaan.
Menurut kementerian itu, pasukan Houthi melancarkan beberapa bedilan ke kawasan termasuk Al-Nawazil, Al-Qasr, Al-Dhabab, Jalan al-Thalatheen, Samea, Al-Aqrud, Al-Zanouj, Akkad, Al-Dhahr al-Ulya dan pos pemeriksaan Al-Hangar.
Setakat ini tiada sebarang ulasan daripada pihak Houthi berhubung kenyataan kementerian berkenaan.
Sementara itu, Briged Ke-22 Tentera Yaman dalam satu kenyataan di Facebook memaklumkan bahawa pasukan kerajaan, dengan sokongan “Popular Resistance”, berjaya menangkis serangan Houthi di kawasan Al-Shaqab di selatan Taiz.
Menurut kenyataan itu lebih 25 pejuang Houthi terkorban manakala beberapa yang lain cedera dalam pertempuran itu, selain sebuah kenderaan tentera yang dilengkapi meriam 23 mm turut dimusnahkan.
Briged itu berkata pasukan kerajaan melancarkan serangan balas serentak menggunakan dron ke atas kedudukan Houthi di barisan hadapan Al-Shaqab.
Tentera kerajaan juga menembak jatuh sebuah dron bunuh diri Houthi di ruang udara kawasan Al-Arous di selatan Taiz, menurut kenyataan itu.
Pihak Houthi belum mengulas kenyataan daripada Kementerian Dalam Negeri mahupun pihak tentera.
Perkembangan terbaharu ini berlaku di tengah-tengah ketegangan ketenteraan yang bermula sejak Julai, merupakannya yang paling sengit sejak tempoh tenang susulan gencatan senjata tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dikuatkuasakan pada April 2022.
Yaman bergolak sejak Houthi menguasai ibu negara Sanaa dan beberapa wilayah pada September 2014, memicu campur tangan pakatan pimpinan Arab Saudi pada Mac 2015 bagi menyokong kerajaan yang diiktiraf antarabangsa. – BERNAMA