Belanjawan 2027 perkasa kebajikan pekerja Gig

Foto BERNAMA

IPOH, 10 Oktober – Pekerja gig di Perak menyambut baik pengumuman Belanjawan 2027 yang memberi perhatian kepada kebajikan mereka, khususnya bantuan penyelenggaraan kenderaan. Inisiatif itu disifatkan mampu mengurangkan beban kos operasi yang ditanggung setiap hari.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kos penyelenggaraan kenderaan menjejaskan pendapatan bersih pekerja gig.
  • Rider kata perkhidmatan e-hailing memudahkan urusan harian dan kerja panjang.
  • Belanjawan 2027 umum pakej RM160 juta bersama Grab untuk pekerja e-hailing dan p-hailing.
  • Pakej merangkumi bantuan penyelenggaraan, insentif insurans dan perlindungan sosial tingkatkan pendapatan bersih.

Bagi pekerja gig, kos penyelenggaraan merupakan antara perbelanjaan yang boleh menjejaskan pendapatan bersih.

Penghantar Makanan, Mohamad Hafizuddin Mohd Faizol menyifatkan perkhidmatan e-hailing sebagai satu kemudahan yang membantu, khususnya apabila perlu mengurus pelbagai urusan dalam tempoh masa yang panjang.

“Bagi saya, ia banyak membantu bergantung pada kekerapan dan tempoh kita menggunakan Grab. Ini kerana kita bukan berdepan satu masalah sahaja, sebaliknya kadangkala pelbagai urusan dan cabaran perlu diselesaikan,” katanya.

Bagi Mohd Nor Azizi Hafizuddin Azleh, belanjawan 2027 disifatkan mampu meringankan beban kewangan penghantar atau rider, khususnya bagi menampung kos penyelenggaraan kenderaan.

“Belanjawan 2027 banyak membantu meringankan beban kami sebagai rider. Sebelum ini, kami perlu menggunakan wang sendiri untuk menampung kos penyelenggaraan kenderaan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shafiq Mohd Nor menyifatkan inisiatif dalam Belanjawan 2027 sebagai perkembangan positif yang menunjukkan perhatian terhadap kebajikan mereka dalam mendepani peningkatan kos sara hidup.

“Pada saya, ini satu perkembangan yang baik kerana pekerja gig juga berdepan dengan peningkatan kos sara hidup. Sekurang-kurangnya, kebajikan kami yang bekerja sendiri turut mendapat perhatian,” katanya.

Menerusi Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam, kerajaan mengumumkan pakej bernilai RM160 juta
bersama Grab bagi membantu pekerja e-hailing dan p-hailing.

Pakej itu merangkumi bantuan penyelenggaraan kenderaan serta insentif berkaitan insurans dan perlindungan sosial yang dijangka membantu meningkatkan pendapatan bersih pekerja gig, sekali gus meringankan beban perbelanjaan harian mereka.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.