Pesara Labuan sambut baik kenaikan pencen

Foto Hiasan

LABUAN, 10 Oktober – Kenaikan kadar pencen minimum daripada RM1,000 kepada RM1,350 serta Bantuan Khas Kewangan (BKK) RM750 menerusi Belanjawan 2027 disambut baik golongan pesara di Labuan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peningkatan bantuan kewangan dilihat mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan pesara.
  • Pesara bersyukur dan berharap bantuan digunakan sebaiknya untuk meringankan beban akibat kenaikan kos sara hidup.
  • Veteran mahu penambahbaikan lanjut bagi merapatkan jurang pencen antara pesara sebelum dan selepas 2013.

Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPM) Sabah, Abdul Wahid Matbari berkata, peningkatan BKK daripada RM250 pada tahun sebelumnya kepada RM750 tahun ini mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan pesara.

“Pada tahun-tahun sebelumnya, kami hanya menerima RM250. Alhamdulillah, tahun ini jumlahnya meningkat kepada RM750 dan kami amat bersyukur.

“Saya sebagai pesara dan wakil Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia cawangan negeri Sabah mengalu-alukan pemberian kerajaan ini. Saya berharap wang tersebut digunakan dengan sebaik-baiknya untuk perkara yang bermanfaat dan tidak dibazirkan,”katanya.

Pesara RTM, Baplik ‘BB-Ray’ Bangah pula menyifatkan bantuan itu sebagai satu kelegaan dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup, khususnya kenaikan harga barangan keperluan.

“Kami mengucapkan syukur, Alhamdulillah, dan berterima kasih kepada kerajaan Malaysia atas bantuan ini yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan kami, terutama ketika harga barangan meningkat mendadak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Labuan, Bolkiah Aziz berharap kerajaan terus mempertimbangkan penambahbaikan kadar pencen pada masa hadapan, khususnya bagi merapatkan jurang perbezaan pencen pesara sebelum dan selepas tahun 2013.

“Ini merupakan satu langkah yang baik dalam membantu meringankan beban pesara dan veteran. Namun, saya berharap kerajaan terus mempertimbangkan penambahbaikan kadar pencen pada masa hadapan bagi merapatkan jurang perbezaan antara pesara yang bersara sebelum dan selepas tahun 2013,” katanya.

Kadar pencen baharu itu dijangka memanfaatkan hampir 59,000 pesara, veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan penerima pencen terbitan.

BKK RM750 pula akan dikreditkan terus ke akaun penerima sebelum Aidilfitri dan ambang Tujuh Dasawarsa Kemerdekaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.