
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menggesa seluruh anggota perkhidmatan awam terus komited melaksanakan dasar kerajaan dengan pantas dan berkesan bagi memastikan manfaat Belanjawan 2027 dapat dirasai rakyat.
- Belanjawan 2027: peruntukan keseluruhan RM459.8 bilion, dengan RM376.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM83 bilion pembangunan.
- Inisiatif utama termasuk kenaikan gaji minimum kepada RM2,000, subsidi dan insentif berjumlah RM80 bilion.
- Belanjawan menekankan pembangunan seimbang, kemampanan ekonomi, daya tahan fiskal serta keutamaan terhadap kebajikan rakyat.
Menerusi kenyataan media, beliau berkata penjawat awam perlu bersedia menggalas amanah dan tanggungjawab sebagai Waad Nasional, selain terus menyokong dasar kerajaan bagi memastikan limpahan ekonomi dapat dinikmati bersama.
Menurutnya, Belanjawan 2027 bertemakan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ menyediakan peruntukan keseluruhan RM459.8 bilion, merangkumi RM376.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM83 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
“Belanjawan ini turut mencerminkan usaha kerajaan mengimbangi pembangunan negara, kemampanan ekonomi dan daya tahan fiskal, di samping memberi perhatian kepada kebajikan semua lapisan masyarakat.
“Antara inisiatif yang diumumkan ialah peningkatan gaji minimum kepada RM2,000, penyediaan subsidi, bantuan dan insentif berjumlah RM80 bilion serta Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM1,500 kepada penjawat awam dan RM750 kepada pesara,” katanya.
Jelas Tan Sri Shamsul Azri, pelbagai inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta penjawat awam terus terbela.
Beliau turut menyifatkan peruntukan dan peningkatan yang diumumkan sebagai manifestasi keazaman kerajaan untuk terus meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan.