Formula pendapatan minimum pekerja gig perlu ambil kira kos operasi, tempoh bekerja

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Penetapan formula pendapatan minimum bagi pekerja gig perlu mengambil kira kos operasi sebenar dan tempoh yang diperuntukkan untuk melaksanakan tugasan bagi memastikan kadar bayaran ditetapkan mencerminkan keadaan sebenar pekerjaan di lapangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kadar tidak boleh ditetapkan seragam; perbezaan corak kerja pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing perlu diambil kira.
  • Kos seperti petrol, penyelenggaraan, insurans dan susut nilai aset mesti dimasukkan dalam pengiraan kadar.
  • Formula pendapatan perlu dirundingkan antara wakil pekerja, platform dan kerajaan, disokong kajian impak ekonomi dan pemantauan telus.
  • Majlis Perundingan Gig berperanan merundingkan kadar, formula dan standard perlindungan sosial untuk ekosistem gig mampan.

Pengarah Program MBA & DBA Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, penetapan kadar berkenaan tidak boleh dibuat secara seragam tanpa mempertimbangkan perbezaan corak kerja serta kos yang ditanggung pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing.

Kos seperti petrol, penyelenggaraan kenderaan, insurans dan susut nilai aset perlu dimasukkan dalam pengiraan supaya kadar pendapatan minimum yang ditetapkan tidak hanya kelihatan munasabah di atas kertas.

“Formula pendapatan perlu mengambil kira kos operasi sebenar supaya kadar yang ditetapkan benar-benar mencerminkan pendapatan bersih pekerja.

“Penetapan kadar berkenaan juga perlu dicapai menerusi rundingan antara wakil pekerja gig, syarikat platform dan kerajaan, disokong kajian impak ekonomi serta pemantauan berkala secara telus,” katanya ketika dihubungi RTM.

Perbezaan profil pekerja gig, termasuk jumlah perjalanan dan tempoh bekerja, turut perlu dipertimbangkan bagi memastikan formula pendapatan yang dibangunkan bersesuaian dengan keadaan sebenar setiap kumpulan pekerja.

Uusaha Majlis Perundingan Gig untuk merundingkan kadar pendapatan minimum, formula pendapatan dan standard minimum perlindungan sosial merupakan langkah penting dalam membina ekosistem pekerjaan gig yang lebih mampan.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2027 mengumumkan pakej RM160 juta yang dibiayai bersama kerajaan dan Grab bagi membantu pekerja gig.

Ia termasuk menerusi peningkatan kadar pendapatan minimum, bantuan kos penyelenggaraan kenderaan dan insurans serta caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Inisiatif itu diperkenalkan ketika Majlis Perundingan Gig meneruskan rundingan bagi menetapkan kadar pendapatan minimum, formula pendapatan dan standard minimum perlindungan sosial untuk pekerja gig.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.