WHO sokong tindak balas Kenya, pergiat langkah kawalan

Foto AFP

NAIROBI, 7 Oktober – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bekerjasama rapat dengan kerajaan Kenya dalam memperhebat langkah kawalan melibatkan penyakit virus Bundibugyo (BVD).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan mengukuhkan penyelarasan tindak balas, menyiasat kes dan menyenaraikan kontak untuk pengawasan penyakit.
  • Saringan di pintu masuk berisiko tinggi, komunikasi risiko jelas dan penglibatan komuniti sebagai teras tindak balas.
  • Unit pengasingan di 27 daerah berisiko tinggi dikenal pasti, pengurus kes dilatih dan alat pengawasan dikemas kini.
  • WHO menghantar kira-kira 1,000 ujian dan 1,000 kit perlindungan diri serta menasihatkan tiada sekatan perjalanan berdasarkan maklumat kini.

Tindakan tersebut susulan kes import pertama penyakit berkenaan yang disahkan menjangkiti seorang pesakit yang kemudiaanya meninggal dunia di hospital Nairobi pada Isnin, lapor Xinhua.

Menurut WHO dalam kenyataan pada Selasa, kerajaan Kenya sedang mengukuhkan penyelarasan tindak balas dan penyiasatan kes sambil memantau dan menyenaraikan kontak untuk pengawasan penyakit.

Saringan di pintu masuk berisiko tinggi, komunikasi risiko yang jelas dan penglibatan komuniti merupakan teras tindak balas, menurut WHO.

Pengarah Wilayah Afrika, bagi WHO iaitu Mohamed Janabi berkata, Kenya telah meletakkan langkah kawalan wabak yang penting dan keutamaan sekarang adalah untuk bergerak pantas bagi mengesan sebarang kes lanjut sebelum virus itu berpeluang merebak.

“Kami menyokong usaha berterusan untuk mengukuhkan tindak balas dan dengan tindakan pantas dan diselaraskan, kita boleh menghalang virus daripada menular dan menghentikan potensi wabak yang lebih besar,” kata Janabi.

Terdahulu Setiausaha Kabinet untuk Kesihatan Aden Duale pada Selasa mengesahkan, kematian seorang pesakit iaitu warga Kenya yang telah menetap di Republik Demokratik Congo (DRC) sejak tujuh tahun lepas.

WHO dan rakan kongsinya telah menyokong Kenya dengan latihan simulasi Ebola dan latihan kumpulan jurulatih tindak balas pantas kebangsaan, menurut kenyataan itu.

Unit pengasingan di 27 daerah berisiko tinggi telah dikenal pasti dan dinilai, pengurus kes dilatih dan alat pengawasan Ebola dikemas kini.

Agensi kesihatan global itu juga telah menghantar kira-kira 1,000 ujian Ebola dan 1,000 kit peralatan perlindungan diri ke daerah berisiko tinggi di Kenya.

WHO menasihatkan sekatan perjalanan ke DRC atau berdagang dengan negara itu, Uganda atau Kenya berdasarkan maklumat yang tersedia pada masa ini.- BERNAMA-XINHUA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.