Ceritaku@Sekolah 2026 pupuk budaya membaca pelajar

Foto PNM

PUTRAJAYA, 5 Oktober – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerusi Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) terus komited memupuk budaya membaca dalam kalangan pelajar sekolah melalui pendekatan yang lebih interaktif menerusi penganjuran program Ceritaku@Sekolah 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program bertema "Generasi Berilmu, Warisan Bangsa" fokus penyebaran ilmu, pembudayaan membaca dan pengukuhan nilai murni.
  • Pendekatan pengalaman luar bilik darjah meningkatkan kefahaman, keyakinan dan kemahiran komunikasi murid untuk ekspresikan idea.
  • Aktiviti termasuk sesi bercerita, Bijak Jawi, perpustakaan bergerak, demonstrasi teknologi serta sumbangan buku dan laman herba.

Program yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 9 (1) Putrajaya membawakan tema “Generasi Berilmu, Warisan Bangsa” dengan memberi fokus kepada penyebaran ilmu, pembudayaan membaca serta pengukuhan nilai murni.

Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, pendidikan tidak terhad di dalam bilik darjah semata-mata, sebaliknya pembelajaran menerusi pengalaman dapat menghidupkan ilmu secara lebih mendalam dan praktikal.

“Inisiatif tersebut bukan sahaja berupaya menyemai minat membaca serta menyokong program NILAM, malah membantu meningkatkan kefahaman, tahap keyakinan dan kemahiran berkomunikasi murid untuk lebih berani mengekspresikan idea serta pemikiran,” katanya ketika menyempurnakan program berkenaan di sini hari ini

Menurut beliau, program Ceritaku@Sekolah merupakan salah satu program utama oleh PNM yang telah memasuki tahun ketiga pelaksanaannya.

Datuk Haslina turut menggalakkan para pelajar untuk mendaftar dan memanfaatkan portal u-Pustaka, iaitu program yang menyediakan akses luas kepada pelbagai bahan bacaan dan sumber ilmu.

Program kali ini menyasarkan penglibatan seramai 1,000 orang pelajar dan 50 orang guru.

Antara pengisian program yang disediakan termasuk Sesi Bercerita, Siri Bijak Jawi, Misi Si Bijak Info, pameran agensi kerajaan dan swasta, Perkhidmatan Perpustakaan Bergerak oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) serta demonstrasi teknologi seperti Aktiviti Robotik Solar Microbit daripada UNITEN.

Pada majlis sama, beliau turut menyempurnakan perasmian laman herba di sekolah berkenaan serta menyampaikan sumbangan simbolik 100 naskhah buku pelbagai kategori kepada pihak sekolah daripada pihak PNM.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.