
NAGOYA, 2 Oktober – Skuad skuasy lelaki negara mengesahkan pingat emas kesembilan milik kontinjen negara pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas menewaskan Pakistan 2-0 dalam aksi final berpasukan di Arena Nagoya Kinjo Futo, sebentar tadi.
- Menamatkan penantian lapan tahun untuk juara berpasukan lelaki sejak 2018.
- Melengkapkan kuasa dua emas skuasy apabila skuad wanita mempertahankan gelaran ke atas Hong Kong.
- Skuasy menyumbang empat emas; negara menyamai pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaan Sukan Asia.
Kemenangan itu menamatkan penantian lapan tahun Malaysia untuk kembali bergelar juara berpasukan lelaki selepas kali terakhir meraih emas pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.
Lebih manis, kejayaan itu melengkapkan kuasa dua emas skuasy hari ini apabila skuad wanita terlebih dahulu mempertahankan gelaran selepas menundukkan Hong Kong 2-1.
Skuasy kini menyumbang empat emas kepada kontinjen negara di Aichi-Nagoya selepas Ng Eain Yow dan S Sivasangari masing-masing menjuarai acara perseorangan lelaki dan wanita.
Dalam aksi final, C Ameeshenraj menghadiahkan mata pertama Malaysia selepas bangkit daripada kehilangan set pembukaan untuk menewaskan Nasir Iqbal 8-11, 11-3, 11-6, 11-4.
Eain Yow kemudian berdepan tentangan sengit Noor Zaman sebelum mengesahkan kemenangan Malaysia menerusi keputusan 11-8, 6-11, 7-11, 11-4, 11-5.
Kejayaan itu turut menyaksikan Malaysia menyamai pencapaian terbaiknya dalam sejarah penyertaan Sukan Asia dengan sembilan pingat emas, menyamai kutipan pada edisi Guangzhou 2010.