Ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan, eksport E&E pacu pertumbuhan

Gambar Hiasan /RTM

KUALA LUMPUR, 1 Oktober – Ekonomi Malaysia diunjur terus berdaya tahan tahun ini dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka berkembang 5.1 peratus, disokong permintaan domestik, eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) serta aktiviti pelaburan yang berterusan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) serta permintaan luaran kukuh terus menjadi penyumbang utama pertumbuhan ekonomi.
  • Permintaan domestik disokong pasaran kerja sihat, pertumbuhan gaji positif, inflasi terkawal serta sumbangan pelancongan seperti Visit Malaysia 2026 dan F1.
  • Pelaburan infrastruktur, teknologi, pusat data dan tenaga boleh baharu merancakkan pembinaan; BNM dijangka mengekalkan OPR, namun risiko kos minyak perlu diperhatikan.

MBSB Research berkata, jangkaan itu mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara melebihi paras lima peratus untuk tahun ketiga berturut-turut, meskipun kadar pertumbuhan dijangka sederhana pada separuh kedua 2026.

Katanya, permintaan domestik terus disokong pasaran pekerjaan yang sihat, pertumbuhan gaji positif dan inflasi terkawal manakala aktiviti berkaitan pelancongan juga memberi sumbangan kepada khususnya menerusi pelaksanaan Visit Malaysia 2026 serta penganjuran acara Formula Satu (F1) hujung minggu ini.

“Pada masa sama, permintaan luaran yang kukuh, terutama terhadap produk E&E, dijangka terus menjadi antara penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Eksport dan import masing-masing meningkat 31.2 peratus dan 22.4 peratus tahun ke tahun dalam tempoh lapan bulan 2026,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Firma penyelidikan itu berkata, permintaan global terhadap teknologi, semikonduktor dan barangan pembuatan, termasuk berkaitan kecerdasan buatan (AI), pusat data dan elektronik berteknologi tinggi, berpotensi memberi sumbangan lebih besar kepada pertumbuhan ekonomi tahun ini serta menjadi sokongan kepada eksport E&E hingga 2027.

Katanya, dari sudut pelaburan, kemajuan projek infrastruktur utama serta pelaburan dalam sektor pembuatan berkaitan teknologi dan pusat data dijangka terus merancakkan aktiviti pembinaan, manakala pelaburan dalam peralihan tenaga dan tenaga boleh baharu akan menjadi sumber tambahan pertumbuhan ekonomi dalam jangka sederhana.

MBSB Research bagaimanapun memberi perhatian terhadap risiko kenaikan kos berikutan harga minyak global yang boleh meningkatkan kos operasi dan harga barangan.

“Dalam keadaan pertumbuhan domestik yang stabil dan inflasi masih terkawal, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus sehingga akhir tahun ini dan ke 2027,” katanya.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.