
ALOR GAJAH, 2 Oktober – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menggesa pelajar yang mendakwa menjadi mangsa seorang penceramah bebas berhubung perlakuan tidak wajar supaya tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dijalankan.
- Mengarahkan semua program melibatkan penceramah bebas dihentikan serta-merta untuk membolehkan siasatan penuh.
- Dakwaan dipandang serius kerana melibatkan keselamatan dan perlindungan murid.
- Meminta semua pihak sekolah serta pentadbir mengambil perkara ini secara serius demi keselamatan dan kebajikan murid.
Beliau berkata, laporan polis penting bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya berhubung dakwaan berkenaan.
“Kita pandang serius dan kita minta anak-anak ataupun mangsa yang terlibat tampil kepada pihak berkuasa dan membuat laporan. Ini sangat penting.
“Kalau kita tidak mempunyai laporan daripada pihak berkuasa dan tindakan-tindakan itu, ia akan menyukarkan kita. Kita tidak mahu perkara ini terus berlangsung dalam suasana sekolah. Kita mahu sekolah kita betul-betul selamat dan kita minta semua pihak sekolah serta pentadbir mengambil perkara ini secara serius,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Perdana Projek Siap Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Semalam, Datuk Seri Fadhlina mengarahkan semua program di sekolah yang melibatkan penceramah bebas berkenaan dihentikan serta-merta bagi memberi ruang kepada siasatan penuh susulan dakwaan yang tular.
Beliau berkata, dakwaan berkenaan dipandang serius kerana membabitkan aspek keselamatan dan perlindungan murid.
Datuk Seri Fadhlina turut menggesa semua pihak sekolah dan pentadbir mengambil perkara berkenaan secara serius bagi memastikan keselamatan serta kebajikan murid sentiasa terpelihara.