
KUALA LUMPUR, 2 Oktober – Orang ramai diingatkan supaya menjauhi jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Selangor susulan beberapa kejadian kecurian dan pemotongan kabel yang berlaku tiga hari berturut-turut.
- Jajaran ECRL sedang melalui ujian pentauliahan; tren beroperasi siang malam sehingga 160 km/j dan kawasan tidak dibuka kepada orang awam.
- Pencerobohan atau gangguan terhadap infrastruktur boleh mengakibatkan kecederaan serius atau renjatan elektrik.
- Kecurian kabel merosakkan sistem ujian, perlukan pemeriksaan, pembaikan atau penggantian dan boleh memaksa pengulangan ujian.
- CCCECRL telah buat laporan polis, tingkatkan kawalan keselamatan, dan orang ramai diminta lapor aktiviti mencurigakan.
Kontraktor utama ECRL, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL) berkata, kejadian itu berlaku ketika projek berkenaan sedang melalui proses ujian dan pentauliahan.
Menurut syarikat itu, tren kini beroperasi siang dan malam pada kelajuan sehingga 160 kilometer sejam, manakala jajaran ECRL merupakan kawasan ujian aktif yang tidak dibuka kepada orang awam.
“Sebarang pencerobohan atau gangguan tanpa kebenaran terhadap infrastruktur kereta api boleh mengakibatkan risiko kecederaan serius atau renjatan elektrik,” menurut kenyataan itu.
CCCECRL berkata sistem, peralatan dan kabel di sepanjang laluan sama ada dibekalkan kuasa elektrik atau sedang menjalani ujian secara langsung.
Selain membahayakan keselamatan, kecurian kabel dan kerosakan infrastruktur turut boleh menjejaskan proses ujian dan pentauliahan.
Peralatan yang rosak perlu diperiksa, dibaiki atau diganti sebelum ujian dapat diteruskan, manakala sesetengah ujian mungkin perlu diulang.
“Jika insiden berterusan, ia berpotensi menjejaskan jadual projek dan melambatkan tarikh operasi yang dirancang,” katanya.
CCCECRL telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan.
Langkah keselamatan di sepanjang jajaran turut dipertingkatkan, termasuk peningkatan pemantauan dan rondaan di kawasan terjejas bagi mengelakkan kejadian berulang.
Orang ramai diminta melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada polis atau pejabat seksyen CCCECRL berhampiran.