
PUTRAJAYA, 2 Oktober – Kedudukan pasport Malaysia di tangga kedua dunia mencerminkan keyakinan global terhadap kestabilan, keselamatan dan integriti negara, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
- Pencapaian memberi manfaat rakyat melalui akses perjalanan lebih luas, memudahkan pelancongan, urusan luar negara dan peluang pendidikan serta kerjaya antarabangsa.
- Selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI untuk memperluas hubungan antarabangsa dan meningkatkan daya saing Malaysia di pentas dunia.
- KDN dan Jabatan Imigresen akan terus memperkukuh keselamatan sempadan, meningkatkan kecekapan sistem imigresen dan mutu perkhidmatan.
- Pencapaian membuka peluang perniagaan dan pelaburan, membantu usahawan meneroka pasaran baharu serta menjana manfaat ekonomi kepada keluarga.
Beliau berkata, pencapaian itu turut memberi manfaat kepada rakyat melalui akses perjalanan yang lebih luas, selain membuka peluang dalam pendidikan, kerjaya, perniagaan dan pelaburan.
“Keyakinan dunia terhadap kestabilan, keselamatan dan integriti sistem negara kini diterjemahkan melalui satu lagi pencapaian yang membanggakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut Datuk Seri Saifuddin, pasport Malaysia meningkat daripada tangga ketiga kepada tangga kedua dunia pada 2026.
Akses antarabangsa pemegang pasport Malaysia juga meningkat daripada 174 kepada 175 destinasi.
Beliau berkata, pencapaian itu selari dengan kerangka Ekonomi MADANI yang memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pertumbuhan negara, memperluas hubungan antarabangsa dan meningkatkan daya saing Malaysia.
“Di bawah kerangka Ekonomi MADANI, antara tumpuan utama negara adalah untuk menaikkan siling pertumbuhan negara dengan memperluas jangkauan antarabangsa, memperkukuh kedudukan diplomatik serta meningkatkan daya saing Malaysia di pentas dunia,” katanya.
Datuk Seri Saifuddin berkata, pencapaian itu merupakan hasil usaha berterusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memastikan sistem imigresen serta dokumen perjalanan negara kekal selamat dan berintegriti.
Katanya, KDN dan JIM akan terus memperkukuh keselamatan sempadan, meningkatkan kecekapan sistem imigresen dan menambah baik mutu perkhidmatan kepada rakyat.
“KDN dan JIM akan memelihara integriti pasport dan dokumen perjalanan Malaysia agar terus dihormati serta diyakini pada peringkat antarabangsa,” katanya.
Mengulas manfaat kepada rakyat, Datuk Seri Saifuddin berkata, kedudukan pasport yang tinggi hanya bermakna jika ia memberi kesan positif kepada kehidupan rakyat.
Katanya, akses perjalanan yang lebih luas memudahkan rakyat melancong dan menjalankan urusan di luar negara, selain memberi lebih banyak peluang kepada golongan muda dalam pendidikan dan kerjaya antarabangsa.
Bagi sektor perniagaan dan pelaburan pula, beliau berkata, kedudukan itu membantu usahawan Malaysia meneroka pasaran baharu dan membina jaringan perniagaan antarabangsa.
“Dalam pertumbuhan perniagaan dan pelaburan, pencapaian ini memudahkan usahawan Malaysia meneroka pasaran baharu, membina jaringan perniagaan antarabangsa serta membuka lebih banyak peluang ekonomi yang akhirnya membawa manfaat kepada keluarga dan negara,” katanya.
Datuk Seri Saifuddin berkata, kedudukan pasport Malaysia sebagai pasport kedua dunia bukan titik akhir, sebaliknya menjadi dorongan kepada KDN dan JIM untuk terus memperkukuh integriti dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan kepada rakyat.