
KUALA LUMPUR, 2 Oktober – Pencapaian institusi pendidikan tinggi tempatan dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings (WUR) 2027 mencerminkan keupayaan Malaysia untuk terus bersaing dalam landskap pendidikan global yang semakin kompetitif.
- MSU melonjak ke kelompok 501–550, mencatat peningkatan ketiga berturut-turut sebagai pengukuhan kecemerlangan pendidikan dan penyelidikan.
- UMT meningkat ke kelompok 801–1,000 dan fokus kepada ilmu kelautan, Ekonomi Biru, kelestarian serta kesejahteraan komuniti pesisir.
- THE WUR 2027 menilai institusi berdasarkan Pengajaran, Persekitaran Penyelidikan, Kualiti Penyelidikan, Industri dan Pandangan Antarabangsa.
Kedudukan Management and Science University (MSU) melonjak ke kelompok 501–550 universiti terbaik dunia, manakala Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meningkat ke kelompok 801–1,000 dalam penarafan berkenaan.
Bagi MSU, pencapaian itu merupakan lonjakan untuk tahun ketiga berturut-turut selepas berada dalam kelompok 801–1,000 pada 2025 sebelum meningkat ke kelompok 601–800 tahun lepas.
Presiden dan Pengasas MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, ia memperkukuh kedudukan universiti berkenaan di peringkat antarabangsa.
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan MSU dalam memperkasa kecemerlangan pendidikan, penyelidikan berimpak, inovasi serta Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDGs).
“Sekali gus menghasilkan impak bermakna yang melangkaui universiti dan menyumbang kepada masyarakat serta komuniti global,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, UMT menyifatkan kedudukan dalam kelompok 801–1,000 sebagai satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh kecemerlangan akademik dan pengiktirafan antarabangsa.
Naib Canselor UMT, Profesor Dr Suriyani Muhamad dalam satu kenyataan berkata, kedudukan berkenaan perlu dilihat sebagai penanda aras baharu dan bukan destinasi akhir dalam perjalanan universiti itu.
“Matlamat kami bukan sekadar untuk meningkatkan kedudukan dalam ranking, sebaliknya menjadi semakin relevan kepada negara dan dunia.
“Sebagai universiti yang berteraskan bidang kelautan dan sumber akuatik, UMT mempunyai tanggungjawab yang unik untuk menjana ilmu, bakat dan inovasi yang dapat menyokong Ekonomi Biru Malaysia, pembangunan maritim, kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan komuniti pesisir,” menurut kenyataan itu.
THE WUR 2027 menilai 2,297 institusi pendidikan tinggi dari 118 negara berdasarkan lima indikator utama iaitu Pengajaran, Persekitaran Penyelidikan, Kualiti Penyelidikan, Industri dan Pandangan Antarabangsa.