
KUALA LUMPUR, 1 Oktober- Wakil Sabah, Mohammad Syahrie muncul juara Pertandingan Akhir Pidato Piala Diraja Tingkatan Enam Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, hari ini.
- Membawa pulang Piala Pusingan Diraja, wang tunai RM10,000, sijil penghargaan dan buku terbitan DBP.
- Persiapan singkat kerana komitmen STPM; latihan di rumah, bimbingan guru dan rakan serta perbincangan teks pidato.
- Pertandingan bertema "Bahasa Minda Bangsa, Tonggak Malaysia MADANI" memupuk penguasaan bahasa Melayu, pemikiran kritis dan keupayaan berhujah.
Mohammad Syahrie dari Kolej Tingkatan Enam Datuk Pengiran Galpam, Sandakan membawa pulang Piala Pusingan Diraja, wang tunai RM10,000, sijil penghargaan serta buku terbitan DBP.
Beliau berkata kejayaan itu di luar jangkaan kerana pada awalnya hanya menyasarkan untuk mara ke peringkat tertentu dalam pertandingan berkenaan.
Katanya, tempoh persiapan yang agak singkat berikutan komitmen terhadap peperiksaan percubaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidak menghalangnya membuat persiapan sebaik mungkin.
“Bagi saya, masa yang ada agak singkat untuk membuat persiapan, termasuk menyiapkan dan menghafal teks pidato. Kebanyakan latihan saya lakukan di rumah, selain mendapatkan bimbingan serta maklum balas daripada guru dan rakan-rakan.
“Teks pidato itu juga dihasilkan menerusi perbincangan bersama guru bagi memastikan kandungannya bersesuaian dengan tema pertandingan,” katanya.
Mohammad Syahrie berkata sokongan keluarga, guru dan rakan-rakan turut mendorongnya menyertai pertandingan berkenaan.
Sementara itu, wakil Klang, Lenithraa Sai Kanagalingam yang menduduki tempat ketiga berkata persiapan awal sejak Julai dengan bimbingan guru serta sokongan keluarga membuahkan hasil.
Sebagai satu-satunya peserta bukan Melayu, beliau yang dari Kolej Tingkatan Enam Sri Istana berkata minat terhadap bahasa Melayu mendorongnya aktif menyertai pertandingan pidato bahasa kebangsaan sejak kecil.

“Saya memang menjiwai semua bahasa yang saya gunakan, termasuk bahasa Inggeris, bahasa Tamil dan bahasa Melayu. Saya memang sangat suka bahasa Melayu,” katanya.
Naib johan, Muhammad Noorsolihin Mohd Taufiq dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Alwi, Perlis berkata beliau berbangga dapat melangkah ke peringkat kebangsaan walaupun merasakan persembahannya belum mencapai tahap yang diharapkan.
Beliau yang memilih tajuk “Kecerdasan Buatan (AI) menjejaskan daya fikiran, kreativiti dan keupayaan pelajar untuk berdikari” berkata AI boleh dimanfaatkan sebagai alat bantuan pembelajaran sekiranya digunakan secara bijak.
“AI sebenarnya bagus, cuma kita jangan sampai bergantung sepenuhnya kepadanya. Penggunaan AI jangan sampai menimbulkan rasa malas dalam diri. Jadi, nasihat saya, gunakan AI sebaik-baiknya dan jadilah pengguna yang bijak,” katanya.
Pertandingan Pidato Piala Diraja Tingkatan Enam 2026 bertemakan “Bahasa Minda Bangsa, Tonggak Malaysia MADANI” bertujuan memupuk penguasaan bahasa Melayu, pemikiran kritis serta keupayaan berhujah dalam kalangan pelajar prauniversiti.
Pertandingan itu turut memberi ruang kepada pelajar tingkatan enam menyampaikan idea dan pandangan secara jelas, bernas serta tersusun dalam bahasa Melayu.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dengan kehadiran Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek.