
PUTRAJAYA, 1 Oktober – Siasatan berhubung kelewatan pembekalan baja di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah selesai, dengan dua individu dijangka berdepan pertuduhan dalam masa terdekat.
- Siasatan menjurus kepada Seksyen 18 Akta SPRM 2009 berkaitan pengemukaan dokumen palsu.
- 13 saksi dipanggil, termasuk pengerusi PeSAWAH, empat pegawai MADA dan lapan kakitangan PPK.
- Kekurangan bekalan: sepatutnya 616,015 beg, hanya 333,655 dibekalkan, kurang 282,360 beg.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, kertas siasatan kes berkenaan telah dilengkapkan dan dirujuk kepada Peguam Negara bagi mendapatkan keizinan pendakwaan.
Beliau berkata siasatan menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009, khususnya berkaitan pengemukaan dokumen palsu.
“Penyiasatan telah tamat, telah selesai dan kita menjuruskan penyiasatan itu kepada Seksyen 18 iaitu penyelewengan khususnya terhadap pengemukaan dokumen palsu.
“Penyiasatannya telah lengkap dan kita memperakukan pertuduhan dan pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pun telah bersetuju.
“Cuma sekarang ini kita nak dapatkan keizinan daripada Peguam Negara. Jika seandainya Peguam Negara memberikan keizinan, kita akan tuduh sesegera mungkin,” katanya pada sidang media sempena Sambutan Ulang Tahun ke-59 SPRM dan Perhimpunan Bulanan agensi itu di Putrajaya, hari ini.
Sebelum ini, SPRM memaklumkan seramai 13 saksi telah dipanggil bagi membantu siasatan, termasuk Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), empat pegawai MADA dan lapan kakitangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
Siasatan awal mendapati syarikat pembekal sepatutnya membekalkan 616,015 beg baja bagi musim terbabit, namun sehingga September lalu hanya 333,655 beg telah dibekalkan, menyebabkan kekurangan 282,360 beg.
Kes dibuka pada 26 Ogos lalu susulan aduan berkaitan dakwaan kegagalan TaaVeeKun Manufacturing Sdn Bhd (Taaveekun), syarikat yang dilantik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), membekal, menghantar dan mengedar Baja 3 di bawah Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) di kawasan MADA.
Pembekalan itu melibatkan kawasan seluas 100,000 hektar bagi keperluan tanaman Musim 1 dan 2 tahun ini, membabitkan kira-kira 60,000 pesawah.
KPKM sebelum ini melantik Taaveekun untuk membekalkan 1.23 juta beg atau bersamaan 30,800 tan baja bagi tempoh dua musim, dengan nilai tender RM108.62 juta.