Bukan sekadar hobi, seni karikatur diiktiraf TVET

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengiktirafan rasmi NOSS Lukisan Karikatur Tahap 3 dimasukkan ke dalam Daftar Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan.
  • Usaha PEDUKAR dan kolaborasi bersama JPK serta panel pakar menghasilkan standard latihan terperinci dan disokong tokoh industri.
  • Standard TVET ini memperkukuh kurikulum, etika amalan, keselamatan kerja, dan membuka peluang kerjaya serta potensi pendapatan komersial untuk pelukis karikatur muda.

Tanggapan skeptikal masyarakat terhadap nilai komersial seni visual bukanlah satu perkara asing bagi saya yang bergerak sebagai pensyarah universiti dan pelukis ilustrasi sambilan selama lebih 20 tahun.

Antara disiplin yang paling kuat menerima stereotaip ini ialah seni lukisan karikatur, yang sering dihadkan fungsinya sebagai aktiviti santai di kaki lima atau pelengkap majlis keramaian.

Mengamati bidang ini dari lensa yang lebih luas, saya melihat karikatur melangkaui persepsi cetek tersebut. Bidang ini adalah sebuah cabang industri kreatif yang kompleks dan bernilai tinggi, di mana setiap garisan wajah yang diolah menuntut proses pemikiran mendalam.

Langkah Bersejarah Pengiktirafan TVET

Lembaran sejarah baharu industri kreatif negara sebenarnya telah terpahat kemas apabila National Occupational Skills Standard (NOSS) Seni Lukisan Karikatur Tahap 3 (R900-011-3:2025) diluluskan pada tahun 2025 dan dimasukkan secara rasmi ke dalam Daftar Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan.

Pengiktirafan rasmi ini menjadi satu lagi pencapaian penting dalam ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara. Walaupun dokumen penting ini telah siap dibangunkan, nilainya tidak pernah luput ditelan masa.

Bagi saya sebagai seorang pemerhati dan pendidik seni, pengiktirafan rasmi ini adalah satu anjakan paradigma yang sangat bermakna buat komuniti pelukis yang selama ini berjuang meletakkan seni ini pada kedudukan profesional yang sepatutnya.

Komitmen PEDUKAR dan Kerjasama Strategik

Usaha murni ini digerakkan secara proaktif oleh Pertubuhan Dunia Karikatur Malaysia (PEDUKAR). Saya amat mengagumi komitmen jitu yang ditunjukkan oleh Presiden PEDUKAR, Saudara Katon Aqhari.

Beliau bertungkus-lumus memohon dan mempertahankan kertas cadangan ini ke Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia.

Melalui kerjasama strategik bersama panel perunding pengurusan latihan lantikan JPK, standard ini berjaya disempurnakan dengan penuh teliti.

Mengimbau semula pengalaman terpilih sebagai salah seorang pakar industri untuk membangunkan NOSS ini, saya menyifatkannya sebagai satu penghormatan dan tanggungjawab yang amat besar.

Sesi pembangunan tersebut mempertemukan saya dengan tokoh-tokoh besar tanah air yang menjadi tonggak utama dalam bidang ini.

Antaranya termasuklah kartunis dan pensyarah hebat seperti Anuar Hassan (Sireh), Mohd Safwan (Pauh), Oly Lukis serta ramai lagi permata industri yang mencurahkan pengalaman berpuluh tahun mereka.

Sentuhan Sentimen Lagenda Seni Kebangsaan

Apa yang lebih membanggakan, proses penilaian kurikulum dan pemantapan standard ini diperkukuh lagi dengan barisan panel penilai serta jawatankuasa teknikal yang terdiri daripada nama-nama legenda negara.

Kelestarian kualiti standard ini dinilai dan ditapis sendiri oleh tokoh seni seperti Kartunis Zunar, Tazidi, kartunis veteran tersohor Datuk Imuda (Dato’ A. Rahim Muda).

Individu lain termasuk pelukis berstatus ’Rock Star’ Mazli Ibrahim (Gayour) serta kartunis popular tanah air dengan kartun-kartun beliau yang lucu dan menghiburkan, Dilfitry Tajudin (Lambok).

Berada di dalam ekosistem yang sama bersama mereka memberikan saya ruang untuk menyumbang dari sudut akademik dan struktur latihan.

Manakala mereka menyuntik intipati sebenar selok-belok dunia karikatur yang matang demi melahirkan garis panduan kompetensi kebangsaan yang kukuh.

Memperkasakan Kurikulum dan Etika Latihan

Menerusi lensa pendidikan, saya melihat NOSS ini sebagai jambatan pemerkasaan TVET yang mengubah bakat semula jadi anak muda menjadi satu kompetensi yang sistematik dan diakui.

Melalui standard ini, mereka didedahkan dengan kaedah mengendalikan taklimat tugasan pelanggan (client brief), menjaga garis panduan etika 3R (Raja, Agama, Kaum), Akta Hasutan, hinggalah aspek keselamatan ergonomik ketika bekerja.

Keberkatan Rezeki Hasil Titik Peluh

Bekerja mencari rezeki melalui kemahiran tangan sebegini juga amat dituntut. Sabda Rasulullah SAW (HR Al-Bukhari) bermaksud:

“Tidak ada makanan yang lebih baik yang dimakan oleh seseorang daripada makanan yang dihasilkan daripada usaha tangannya sendiri.”

Malah Allah SWT menegaskan dalam Surah An-Najm, ayat 39: “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang insan melainkan apa yang diusahakannya.”

Potensi Ekonomi dan Masa Depan Industri Kreatif

Industri ini sangat dinamik dan mempunyai potensi ekonomi yang luas. Data PEDUKAR membuktikan permintaan pelukis karikatur secara langsung (live) di acara korporat atau pelancongan di bandar utama seperti Lembah Klang mampu mencecah kadar upah RM300 ke atas sejam.

Oleh itu, saya amat berharap agar lebih banyak institusi latihan dan Pusat Tauliah (PT) di seluruh negara tampil menawarkan program NOSS Lukisan Karikatur ini menggunakan platform rasmi MySPIKE, sekali gus menyediakan platform pengajian formal berasaskan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Langkah mewujudkan NOSS Lukisan Karikatur ini merupakan satu penghormatan tertinggi kepada generasi pelukis terdahulu yang telah lama mewarnai industri dengan keringat mereka.

Kini, landskapnya sudah berubah menjadi lebih tersusun. Kehadiran standard ini diharapkan dapat membuka jalan yang lebih luas dan teratur bagi pelapis muda yang ingin membina kerjaya, sekali gus meletakkan seni visual komersial ini di tempat yang tertinggi dalam ekosistem industri kreatif Malaysia.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan atau pendirian rasmi RTM.


Md Ridzal Md Yusof
Pensyarah Jabatan Multimedia Kreatif
Fakulti Multimedia Kreatif dan Komputeran
Universiti Islam Selangor
E-mel: mdridzal@uis.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.