
KUALA TERENGGANU, 30 September – Dua Kawasan di Terengganu merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara, IPU pada tahap tidak sihat, masing masing di Kemaman dan Kuala Terengganu. Manakala Paka dan Besut merekodkan bacaan sederhana.
- Jerebu dipengaruhi faktor cuaca dan arah angin yang membawa jerebu dari luar.
- Tiada punca titik panas dikesan; kemungkinan jerebu rentas sempadan dari negara jiran.
- Orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar, elakkan pembakaran terbuka dan laporkan kepada pihak berwajib.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar Terengganu, Hamzah Mohamad bagaimanapun memaklumkan keadaan itu banyak dipengaruhi oleh faktor cuaca dan arah angin yang membawa jerebu dari luar.
Jelas beliau, berdasarkan bacaan semasa, empat stesen pemantauan kualiti udara menerekodkan peningkatan pada awal pagi dan menunjukkan penurunan pada petang tadi.
“Menurut data yang kita lihat sekarang, tiada punca titik panas dikesan di kawasan Terengganu. Jadi, kemungkinan besar jerebu ini berpunca dari luar Terengganu.
“Kemungkinan juga keadaan ini disebabkan jerebu rentas sempadan dari negara jiran yang dibawa angin ke kawasan kita”, katanya demikian ketika ditemui RTM disini.
Setakat pukul 2.00 petang tadi, Kemaman masih merekodkan bacaan tidak sihat iaitu 127 berbanding 152 pagi tadi, Kuala Terengganu pula merekodkan 154 berbanding 157, diikuti Paka 100 berbanding 151 pagi tadi.
Manakala Besut pula mencatatkan bacaan IPU sederhana sebanyak 99 berbanding 98 pagi tadi.
Orang ramai dinasihatkan agar mengurangkan aktiviti luar, dan pembakaran terbuka selain melaporkan aktiviti berkenaan kepada pihak berwajib.