
KUALA LUMPUR, 29 September – Polis menumpaskan sindiket ‘calling centre’ yang beroperasi secara aktif di sekitar ibu negara menerusi Op Dadu Khas pada Isnin.
- 74 warga asing (67 lelaki, 7 wanita) berumur 20 hingga 50 tahun diberkas dalam serbuan.
- 61 operator dikenalpasti warga China, 12 dari Vietnam dan seorang dari Taiwan.
- Lapan premis diserbu; beroperasi sebagai calling centre, mempromosi perjudian, love scam dan pelaburan dalam talian palsu.
- Rampasan termasuk komputer, komputer riba, modem, telefon bimbit; dadah disyaki Yaba (5 biji) dan syabu (5.72g).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M.Kumar berkata serbuan dilakukan secara serentak ke atas lapan premis dan kediaman yang dijadikan pusat calling centre oleh sindiket berkenaan selain turut mempromosikan aktiviti perjudian dan kegiatan penipuan secara dalam talian.
“Menerusi serbuan terbabit, seramai 74 warga asing terdiri daripada 67 lelaki dan tujuh wanita masing-masing dalam lingkungan 20 hingga 50 tahun diberkas,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, berdasarkan semakan awal dokumen pengenalan diri yang dirampas, 61 operator dikenalpasti merupakan warga China manakala 12 dari Vietnam dan seorang lagi operator berasal dari Taiwan.
“Hasil serbuan dan pemeriksaan ke atas lapan premis dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa aktiviti jenayah dalam talian termasuk aktiviti ‘love scam’, aktiviti pelaburan tidak wujud secara dalam talian serta beroperasi sebagai hostel atau tempat penginapan operator ‘calling centre’,” jelasnya.
Selain itu beliau berkata, pelbagai perkakasan turut dirampas seperti set komputer, komputer riba, modem serta telefon bimbit pelbagai jenama.
“Turut ditemukan satu paket plastik lutsinar berisi lima biji pil disyaki dadah jenis ‘Yaba’ dengan anggaran berat 0.8 gram serta satu paket lutsinar berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 5.72 gram,” ujar beliau.
Lapan kertas siasatan dibuka dan siasatan dijalankan dibawah peruntukan kesalahan antaranya seksyen 4(1), Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Sekyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 120B Kanun Keseksaan, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6(1)(c) Akta dan Imigresen 1959/63, Akta Imigresen 1959.
Tegas beliau lagi, PDRM komited dalam usaha membanteras aktiviti perjudian yang membawa impak negatif sekaligus signifikan kepada kestabilan ekonomi negara dan keruntuhan sosial.
“Penguatkuasaan secara menyeluruh ke atas sebarang bentuk aktiviti perjudian tanpa lesen akan terus dipergiat membabitkan kerjasama pihak berkuasa tempatan.
PDRM turut menyeru orang ramai agar konsisten menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan tersebut daripada terus berleluasa,” jelas beliau dalam kenyataan sama.