Sektor rel perlukan 25,000 tenaga kerja mahir hingga 2030

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan ketika berucap merasmikan Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) TVET Forum 2026 / Foto Kementerian Sumber Manusia

KUANTAN, 29 September – Sektor rel negara dijangka memerlukan kira-kira 25,000 tenaga kerja sehingga 2030, selaras perkembangan industri serta pelaksanaan pelbagai projek rel termasuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

RINGKASAN BERITA AI
  • TVET diperlukan untuk melahirkan tenaga kerja mahir yang memenuhi kehendak dan perkembangan industri rel.
  • Jabatan Tenaga Manusia merangka kurikulum selari keperluan industri termasuk teknologi, kemahiran dan pengetahuan berkaitan sektor rel.
  • IMT-GT TVET Forum 2026 menjadi platform perkongsian pengalaman dan amalan terbaik antara Malaysia, Indonesia, Thailand dan China.
  • MRL nyatakan kira-kira 3,000 tenaga diperlukan untuk operasi dan penyelenggaraan ECRL; permintaan mahir turut melibatkan sektor rel lain termasuk KTMB.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, perkembangan itu meningkatkan keperluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang memenuhi kehendak industri rel.

Beliau berkata, Jabatan Tenaga Manusia (JTM) sedang merangka kurikulum yang lebih selari dengan keperluan industri, termasuk dari segi teknologi, kemahiran dan pengetahuan berkaitan sektor rel.

“Forum ini antara usaha untuk memastikan gerakan sektor TVET benar-benar memberi impak secara keseluruhan, bukan sahaja kepada pelbagai sektor dan industri, tetapi secara khususnya kepada sektor rel,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) TVET Forum 2026 di sini, hari ini.

Forum itu menjadi platform perkongsian pengalaman dan amalan terbaik dalam bidang TVET antara Malaysia, Indonesia, Thailand dan China.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, kira-kira 3,000 tenaga kerja diperlukan khusus untuk operasi ECRL, penyelenggaraan infrastruktur serta penyelenggaraan set tren atau rolling stock.

“Keperluan kita memang mendesak dan usaha ke arah ini perlu dilaksanakan secara berterusan. TVET merupakan antara sumber penting untuk mendapatkan tenaga mahir bagi menjayakan projek ECRL,” katanya.

Datuk Seri Darwis berkata, keperluan tenaga mahir bukan sahaja tertumpu kepada ECRL, malah meliputi sektor rel lain termasuk Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

ECRL yang menghubungkan Pantai Timur dengan Pantai Barat Semenanjung dijangka meningkatkan permintaan terhadap tenaga mahir dalam bidang operasi, kejuruteraan, penyelenggaraan dan teknologi rel, sekali gus membuka peluang kepada graduan TVET untuk menceburi industri berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.