Enam maut dalam letupan bangunan di Athens

Keadaan bangunan yang runtuh akibat letupan di Athens / Foto AFP

ATHENS, 27 September – Enam orang ditemukan maut selepas sebuah bangunan runtuh akibat letupan kuat di daerah bersejarah Plaka, di sini, pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa termasuk pasangan Britain-Greek serta pelancong Amerika Syarikat yang menginap di unit sewaan jangka pendek.
  • Operasi melibatkan 30 anggota bomba, enam kenderaan, dua kenderaan penyelamat khas, tiga anjing pengesan dan jentera berat untuk alihkan runtuhan.
  • Operasi terpaksa berhati-hati kerana struktur tidak stabil; dua wanita diselamatkan, seorang pejalan kaki cedera ringan; punca letupan disiasat.

Pasukan penyelamat menemukan semua mangsa dari runtuhan bangunan di Jalan Lysikratous selepas operasi mencari dan menyelamat diteruskan hingga Sabtu.

Letupan berlaku kira-kira 7.30 pagi Jumaat, menyebabkan bangunan berkenaan runtuh serta merosakkan premis berhampiran dan kenderaan yang diletakkan di kawasan sekitar.

Mangsa dilaporkan terdiri daripada pasangan warga Britain-Greece yang tinggal di bangunan itu serta empat pelancong Amerika Syarikat yang menginap di unit sewaan jangka pendek di tingkat bawah.

Dua mayat terakhir ditemukan pada petang Sabtu.

Seramai 30 anggota bomba, enam kenderaan, dua kenderaan penyelamat khas dan tiga anjing pengesan terbabit dalam operasi berkenaan, selain penggunaan jentera berat bagi mengalihkan runtuhan.

Dua wanita turut diselamatkan dari bangunan berhampiran dan dibawa ke hospital, manakala seorang pejalan kaki mengalami kecederaan ringan akibat serpihan yang tercampak.

Operasi mencari mangsa berdepan cabaran kerana struktur bangunan yang tidak stabil, menyebabkan anggota penyelamat terpaksa mengalihkan runtuhan dengan berhati-hati.

Polis dan pasukan penyelamat mengepung kawasan kejadian ketika jentera berat digunakan untuk membersihkan runtuhan.

Punca letupan masih disiasat pihak berkuasa. – VIORY

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.