
LABUAN, 26 September – Program Jelajah Belia Rukun Negara (JBRN) 2026 menjadi platform golongan belia meningkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap lima prinsip Rukun Negara menerusi pendekatan interaktif dan berasaskan pengalaman.
- Menekankan pembentukan nilai integriti, jati diri dan penghargaan terhadap kepelbagaian masyarakat.
- Pelbagai aktiviti dirangka membantu peserta memahami, menghayati dan mengamalkan lima prinsip Rukun Negara.
- Program dua hari di Labuan disertai 102 pelajar KML dengan penglibatan hampir 30 fasilitator.
- JBRN 2026 menyasarkan 4,500 mahasiswa daripada 15 institusi pengajian tinggi, dilaksanakan dari Mei hingga Oktober.
Inisiatif Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dengan kerjasama Sekretariat Rukun Negara Kolej Matrikulasi Labuan (KML) itu turut memberi penekanan terhadap pembentukan nilai integriti, jati diri serta penghargaan terhadap kepelbagaian masyarakat.
Pengarah Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional JPNIN, Suraya Wen berkata, pelbagai aktiviti dirangka bagi membantu peserta memahami, menghayati dan mengamalkan lima prinsip Rukun Negara dalam kehidupan seharian.
“Kita mahu pelajar memahami lima prinsip Rukun Negara dan bagaimana ia dapat diterapkan dalam kehidupan seharian. Walaupun program ini berlangsung dalam tempoh singkat, kita berharap generasi muda sekurang-kurangnya didedahkan kepada kaedah untuk memahami, menghayati dan mengamalkan lima prinsip tersebut.
“Justeru, pelbagai aktiviti sepanjang program dirangka bagi membantu mereka memahami, menghayati dan seterusnya cuba mengamalkan lima prinsip Rukun Negara dalam kehidupan,” katanya
Di Labuan, program selama dua hari itu disertai 102 pelajar KML dengan penglibatan hampir 30 fasilitator.
Peserta, Daxson Ashley ManggIe Anak Jedave berkata, pengalaman bekerjasama dengan rakan daripada pelbagai kaum dan negeri memberi kenangan bermakna sepanjang program berkenaan.
“Kenangan paling bermakna sepanjang dua hari ini ialah saya dapat bekerjasama dengan ahli kumpulan daripada pelbagai kaum. Kami datang dari Sarawak dan Sabah, dengan latar belakang kaum yang berbeza.
“Jadi, melalui program ini, kami dapat menyemarakkan semangat perpaduan, bersatu dalam satu pasukan dan bekerjasama untuk menyelesaikan setiap misi serta tugasan yang diberikan,” katanya.
Tambahnya, aktiviti berkumpulan turut menyemarakkan semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan peserta bagi menyelesaikan tugasan yang diberikan.
JBRN 2026 menyasarkan penyertaan 4,500 mahasiswa daripada 15 institusi pengajian tinggi di seluruh negara, dengan pelaksanaan program dari Mei hingga Oktober tahun ini.