Emas Taj Izrin bukti bakat e-sukan Malaysia bertaraf dunia – Alex Yoong

Foto RTM

SEPANG, 25 September – Kejayaan Taj Izrin Aiman Taj Madira meraih pingat emas e-sukan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 membuktikan bakat ‘sim racing’ Malaysia mampu dikembangkan ke peringkat dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Persiapan tersusun dan pendekatan latihan lebih profesional menyumbang kepada peningkatan prestasi.
  • Latihan profesional perlu merangkumi kecergasan, pemakanan, rehat, strategi perlumbaan serta mengelak latihan berlebihan.
  • Kemajuan mendadak dua minggu sebelum pertandingan meningkatkan keyakinan pasukan untuk mencapai keputusan lebih cemerlang.
  • Perlu perkuat pembangunan akar umbi dan laluan latihan tersusun supaya pelumba muda boleh berlatih sepenuh masa.

Jurulatihnya, Alex Yoong berkata, kejayaan itu adalah hasil persiapan lebih tersusun serta peningkatan aspek profesional dalam latihan.

Menurut beliau, Taj Izrin sememangnya memiliki asas dan bakat yang baik, namun peningkatan prestasi memerlukan pendekatan latihan yang lebih profesional, termasuk dalam aspek kecergasan, pemakanan, rehat dan strategi perlumbaan.

“Kami sudah tahu bahan asasnya bagus dan cukup untuk menjadi bertaraf dunia. Cuma kami perlu meletakkan amalan profesional seperti tidur dengan baik, pemakanan, rehat, tidak berlatih secara berlebihan dan berlatih pada waktu yang betul,” katanya.

Alex berkata, sasaran awal pasukan pada Sukan Asia adalah untuk meraih pingat gangsa, namun prestasi Taj Izrin dalam tempoh dua minggu terakhir sebelum pertandingan meningkatkan keyakinan untuk memburu emas.

“Pada awal tahun kami fikir emas hampir mustahil kerana pelumba Jepun, Arab Saudi dan Korea jauh di hadapan. Tetapi kira-kira dua minggu sebelum Sukan Asia, kami benar-benar dapat melihat bahawa ia boleh berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), di sini.

Dalam pada itu, Alex berharap sokongan terhadap pembangunan e-racing di peringkat akar umbi dapat dipertingkat bagi melahirkan lebih ramai pelumba berpotensi.

Katanya, Malaysia mempunyai beberapa pelumba muda yang berbakat, namun mereka memerlukan laluan latihan yang lebih tersusun untuk berkembang secara profesional.

“Kita perlu terus berusaha. Kita mempunyai beberapa pelumba muda yang bagus, tetapi kita perlu mencari cara supaya mereka boleh berlatih secara sepenuh masa,” katanya.

Kejayaan Taj Izrin turut menyumbang pingat emas kedua buat kontinjen Malaysia pada temasya berkenaan, sekali gus menyerlahkan potensi e-racing sebagai antara cabang baharu dalam pembangunan sukan berprestasi tinggi negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.