‘Ada perkara boleh diceritakan, ada yang tidak’ – Safawi

Foto FB Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

KUALA LUMPUR, 13 November – Pemain sayap skuad kebangsaan, Safawi Rasid menegaskan tindakannya meninggalkan kem Harimau Malaya di China bukan dibuat tanpa alasan, sebaliknya mempunyai perkara tertentu yang tidak dapat dikongsikan kepada umum.

RINGKASAN BERITA AI
  • Safawi menegaskan kesetiaan kepada skuad kebangsaan dan bangga menyarung jersi Malaysia.
  • Dia pulang ke tanah air atas urusan keluarga, meninggalkan jurulatih perlu susun semula pilihan serangan.
  • Beberapa pemain cedera atau tidak disenaraikan, lima pengganti dipanggil menjelang perlawanan persahabatan menentang China dan Yaman.

Penjelasan itu dibuat menerusi hantaran ringkas di platform media sosial Threads miliknya, susulan persoalan yang timbul berhubung keputusannya pulang ke tanah air ketika skuad negara sedang membuat persiapan menghadapi China.

Safawi yang juga tonggak Kuching City FC bagaimanapun menegaskan kesetiaannya kepada skuad kebangsaan tidak pernah berubah, malah menyifatkan peluang menyarung jersi negara sebagai satu kebanggaan.

“Saya bukan saja-saja tinggalkan kem Malaysia. Ada perkara yang boleh diceritakan dan ada yang tidak boleh diceritakan. Setakat ini, saya tidak pernah menolak tawaran mewakili Malaysia sepanjang karier saya.

“Menyarung jersi hitam kuning adalah satu kebanggaan saya,” tulisnya.

Safawi dilaporkan terpaksa meninggalkan kem negara selepas tiba di China pada Selasa lalu bagi pulang ke tanah air atas urusan keluarga.

Perkembangan itu pastinya memberi satu lagi cabaran kepada pengendali interim, Tan Cheng Hoe yang kini perlu menyusun semula pilihan di bahagian serangan menjelang aksi menentang China, esok.

Ketiadaan Safawi menyusul selepas Cheng Hoe tidak menyenaraikan Arif Aiman Hanapi, manakala Faisal Halim turut tidak dapat bersama pasukan akibat kecederaan.

Malah, Cheng Hoe sebelum ini turut kehilangan enam pemain Selangor FC yang menarik diri atas faktor kecederaan, iaitu Nooa Laine, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Ahmad Zikri Khalili, A Selvan, Syahir Bashah dan Harith Haiqal Adam.

Bagi mengisi kekosongan itu, lima pemain dipanggil sebagai pengganti, iaitu Suhaimi Husin, Safwan Mazlan, Dominic Tan, Ariff Farhan Md Isa dan Syafiq Ahmad.

Sebelum ini, keputusan tidak menyenaraikan beberapa tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) turut mengundang persoalan penyokong, susulan jadual padat yang perlu diharungi kelab berkenaan.

Harimau Malaya dijadual menentang China, pasukan ranking ke-96 dunia esok, sebelum berdepan Yaman yang menghuni tangga ke-144 dunia pada 17 November.

Kedua-dua aksi persahabatan itu berlangsung di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong, China.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.