Pochettino diumum pengurus baharu Man Utd

Mauricio Pochettino/ Foto AFP

LONDON, 13 November – Manchester United melantik Mauricio Pochettino sebagai pengurus baharu kelab itu pada Jumaat selepas memecat Michael Carrick.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pochettino akan mula tugas pada 18 November selepas dua perlawanan bersama AS menentang Haiti.
  • Kelab mencapai persetujuan dengan Persekutuan Bola Sepak AS untuk melepaskan Pochettino dan barisan kejurulatihan.
  • Terkenal dengan corak permainan menyerang berintensiti tinggi, komitmen membina pasukan dan mengembangkan potensi pemain.
  • Man Utd rekod permulaan paling buruk, kini dalam zon penyingkiran dengan satu kemenangan daripada 10; berdepan Liverpool 23 November.

Jurulatih skuad kebangsaan Amerika Syarikat (AS) itu akan mula menggalas tugas pada 18 November selepas mengendalikan dua perlawanan menentang Haiti.

“Kelab mencapai persetujuan dengan Persekutuan Bola Sepak AS untuk melepaskan Pochettino dan barisan kejurulatihannya selepas mereka menyelesaikan tanggungjawab bersama pasukan kebangsaan lelaki AS.

“Pochettino yang mempunyai pengalaman luas dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) terkenal dengan corak permainan bola sepak menyerang yang berintensiti tinggi, komitmennya membina pasukan yang mantap dan bersatu, serta rekod cemerlang dalam mengembangkan potensi pemain secara individu.

“Beliau secara konsisten menunjukkan prestasi pada tahap tertinggi bola sepak dalam beberapa liga,” menurut kenyataan Man Utd.

Pochettino yang membimbing AS mara ke pusingan 16 pasukan terbaik Piala Dunia di laman sendiri pada awal tahun ini pernah mengendalikan beberapa kelab dalam saingan utama England, termasuk Southampton, Tottenham Hotspur dan Chelsea.

Beliau berdepan tugas besar di Manchester United, yang merekodkan permulaan paling buruk dalam sejarah penyertaan kelab itu dalam kempen EPL.

Juara England sebanyak 20 kali itu kini berada dalam zon penyingkiran selepas hanya mencatat satu kemenangan daripada 10 perlawanan liga setakat ini.

“Peluang mewakili lambang AS merupakan antara penghormatan terbesar dalam karier saya.

“Kami amat berterima kasih kepada pemain atas komitmen mereka, penyokong atas kepercayaan yang diberikan, serta pihak persekutuan yang sentiasa menyokong barisan kejurulatihan kami dan menyediakan peluang untuk memberi kesan kepada budaya bola sepak di negara hebat ini,” kata Pochettino dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh US Soccer.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Setiausaha Agung US Soccer, JT Batson berkata, jurulatih berusia 54 tahun itu telah meninggalkan kesan yang berkekalan terhadap US Soccer menerusi kepimpinan, profesionalisme dan komitmennya terhadap pemain serta budaya bola sepak negara itu.

Man Utd dijadual beraksi di laman sendiri dalam perlawanan seterusnya menentang Liverpool pada 23 November. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.