‘Jadikan kekalahan kepada Palestin pengajaran’ – Presiden FAM

Foto FB Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

KUALA LUMPUR, 13 November – Skuad Harimau Malaya Bawah 16 tahun (B-16) perlu segera bangkit daripada kekalahan kepada Palestin dengan memburu kemenangan ke atas Singapura dalam aksi kedua Kumpulan E, Kelayakan Piala Asia B-17 2027, esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Datuk Ab Ghani mahu pemain jadikan kekalahan 0-2 kepada Palestin sebagai pengajaran dan perbaiki penyudah.
  • Jangan sia-siakan peluang di depan gol; pastikan kesilapan tidak berulang dan tamatkan perlawanan dengan kemenangan.
  • Kehadiran Presiden di sesi latihan memberi suntikan motivasi untuk hidupkan peluang kempen kelayakan.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan mahu pasukan itu menjadikan kekalahan 0-2 kepada Palestin dalam aksi pembukaan, Ahad lalu sebagai pengajaran, terutama dalam aspek penyudah yang perlu diperbaiki.

“Jangan lagi persia-siakan peluang di depan pintu gol seperti ketika menentang Palestin. Kita perlu belajar daripada kesilapan itu dan pastikan perkara sama tidak berulang.

“Anggap perlawanan menentang Singapura ini seperti perlawanan terakhir. Apa yang penting, tamatkan perlawanan dengan kemenangan, tidak kira berapa gol yang mampu kita hasilkan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi FAM.

Datuk Ab Ghani turut hadir menyaksikan sesi latihan skuad muda negara di Universiti Malaya, di sini, bagi memberikan suntikan motivasi kepada barisan pemain dan kejurulatihan menjelang perlawanan penting itu.

Perlawanan menentang Singapura di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, esok disifatkan beliau sebagai amat penting buat skuad negara untuk menghidupkan peluang dalam kempen kelayakan itu.

Skuad negara kini berada di tangga keempat Kumpulan E tanpa sebarang mata selepas mengharungi satu perlawanan, manakala Palestin menerajui kumpulan dengan enam mata hasil dua kemenangan.

India dan Singapura pula masing-masing mengumpul tiga mata di tangga kedua dan ketiga, manakala Guam menghuni kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.