
BHUBANESWAR, 13 November – Pasukan ragbi tujuh sebelah (7s) lelaki bawah 20 tahun (B20) negara optimis mampu menampilkan aksi terbaik dalam usaha memburu tempat ke ‘final ‘dan gelaran juara pada Kejohanan Ragbi Asia Emirates 7s 2026 yang membuka tirai esok.
- Persiapan pasukan berjalan lancar menurut ketua jurulatih Syed Shazril.
- Kejayaan pemain menjuarai Alor Setar Sevens beri suntikan motivasi menjelang kejohanan.
- Pasukan diingatkan berwaspada dengan Sri Lanka, namun tidak memandang rendah lawan lain.
- Skuad Bunga Raya diundi dalam Kumpulan B bersama Sri Lanka, Thailand, Singapura dan Jordan.
Ketua jurulatih, Syed Shazril Syed Mahadzir memaklumkan persiapan pasukan berjalan dengan baik, dengan kejayaan sebahagian pemain menjuarai kejohanan Alor Setar Sevens sebelum ini menjadi suntikan motivasi menjelang saingan di Bhubaneswar, India.
Menurutnya, pencapaian itu memberi keyakinan kepada pemain untuk membawa momentum positif ke kejohanan kali ini, meskipun sedar cabaran yang menanti bukan mudah.
Beliau turut mengingatkan anak buahnya supaya memberikan perhatian khusus kepada Sri Lanka yang muncul naib juara edisi lalu, namun tidak memandang rendah kemampuan pasukan lain dalam kumpulan.
“Kita perlu berwaspada dengan Sri Lanka kerana mereka merupakan naib juara edisi lalu. Bagaimanapun, kita tidak boleh memperkecilkan kemampuan pasukan lain dan perlu kekal berhati-hati dalam setiap perlawanan,” katanya.
Mengenai sasaran, Syed Shazril berkata, pasukan negara berhasrat melangkah ke pentas akhir dan muncul juara, sekali gus memperbaiki pencapaian tempat ketiga pada edisi sebelumnya.
Katanya, prestasi semasa pemain berada pada tahap baik dan berharap skuad negara dapat mengekalkan konsistensi serta memberikan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan.
“Sudah tentu kita mahu melangkah ke final dan menjuarai edisi kali ini. Saya melihat prestasi pasukan berada pada tahap baik dan kita akan memberikan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan, selain berusaha memperbaiki pencapaian tempat ketiga yang diraih sebelum ini,” jelasnya.
Skuad Bunga Raya diundi dalam Kumpulan B bersama Sri Lanka, Thailand, Singapura dan Jordan bagi kejohanan yang berlangsung selama dua hari.