
KUALA LUMPUR, 24 September – Industri pembinaan berharap Belanjawan 2027 menyediakan strategi khusus bagi membantu menangani peningkatan kos bahan binaan serta komponen lain termasuk tenaga kerja.
- Menteri: langkah strategik diperlukan untuk memastikan industri binaan terus berdaya tahan hadapi peningkatan kos operasi dan pelaksanaan projek.
- Kerajaan harus ambil kira pelbagai faktor kos dan cabaran semasa ketika merangka strategi bagi menyokong pembangunan ekonomi.
- Ketidaktentuan harga minyak global dan geopolitik Asia Barat meningkat kos diesel dan bitumen, menjejaskan kerja tanah serta infrastruktur.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah itu penting bagi membantu industri terus berdaya tahan berdepan peningkatan kos yang memberi kesan kepada operasi dan pelaksanaan projek.
Beliau berkata, kerajaan perlu terus mengambil kira pelbagai faktor kos dan cabaran semasa dalam merangka strategi bagi memastikan industri pembinaan dapat terus menyokong pembangunan ekonomi negara.
“Sudah tentu industri pembinaan berharap ada strategi dapat diwujudkan menerusi belanjawan kali ini bagi membantu pemain industri menangani peningkatan kos bahan binaan serta peningkatan kos komponen penting termasuk tenaga kerja, gaji dan sebagainya,” katanya selepas merasmikan Simposium Teknikal IEM-CDL Academy 2026, di sini hari ini.
Terdahulu, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) memaklumkan, kos kerja tanah dan infrastruktur meningkat lebih 20 peratus susulan kenaikan harga bahan binaan.
Kos itu melibatkan produk berkaitan diesel seperti bitumen, akibat ketidaktentuan harga minyak global.
Datuk Seri Alexander berkata, butiran berkaitan Belanjawan 2027 bagaimanapun hanya dapat diperincikan selepas pembentangan yang dijadualkan pada 9 Oktober ini.
Beliau berkata, peningkatan kos dalam industri pembinaan perlu diberi perhatian memandangkan lonjakan harga bahan dan kos tenaga kerja boleh memberi kesan kepada perbelanjaan pembangunan.
Mengulas mengenai ketidakstabilan harga minyak, beliau berkata keadaan itu sememangnya memberi kesan kepada industri susulan perkembangan geopolitik di Asia Barat.