Pelarian Myanmar bayar RM15,000 kepada ejen seludup masuk Malaysia

Lelaki warga Myanmar yang ditahan dalam Op Taring Wawasan Kelantan di Terminal Bas Lembah Sireh, Kota Bharu/Foto PGA Briged Tenggara

KOTA BHARU, 24 September – Seorang lelaki warga Myanmar dipercayai sanggup membayar kira-kira RM15,000 kepada seorang ejen bagi menguruskan perjalanannya dari Myanmar hingga memasuki Malaysia sebelum ditahan, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ditahan di Terminal Bas Lembah Sireh sekitar pukul 10.30 malam selepas kelakuan mencurigakan.
  • Gagal mengemukakan dokumen sah, hanya menunjukkan salinan A4 diragui; dibawa ke BSJ IPD Kota Bharu untuk siasatan lanjut.
  • Mengaku memasuki Malaysia sekitar 2024 menaiki kapal laut dari Meiktila ke Gelang Patah, perjalanan mengambil kira-kira lapan hari; bekerja di Kulai, Johor.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain, berkata lelaki berusia 20 tahun itu ditahan di kawasan Terminal Bas Lembah Sireh kira-kira pukul 10.30 malam.

Beliau berkata, lelaki berkenaan ditahan selepas anggota polis mendapati dia berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan terminal berkenaan.

“Pemeriksaan tubuh badan tidak menemukan sebarang barang yang menyalahi undang-undang, namun lelaki itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan hanya menunjukkan sesalinan dokumen bersaiz A4 yang diragui kesahihannya.

“Suspek kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Radzi, hasil soal siasat mendapati lelaki itu memasuki Malaysia sekitar 2024 dengan menaiki kapal laut dari Meiktila, Myanmar ke Gelang Patah, Johor, dengan perjalanan mengambil masa kira-kira lapan hari.

“Bagi perjalanan berkenaan, dia mengaku membayar 7,719,660 kyat, bersamaan kira-kira RM15,000, kepada seorang ejen yang menguruskan perjalanan dari Myanmar sehingga memasuki Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang berada di Malaysia, lelaki berkenaan bekerja mengetuk dan mengecat kenderaan di sekitar Kulai, Johor.

“Semasa ditahan, dia memaklumkan sedang menunggu bas untuk kembali ke Johor dan tempat kerjanya, selain berada di Kelantan untuk berjumpa seorang rakan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.