Aubrey Suwito tampil 16 lagu menerusi ‘Pop Meets Symphony’

Persembahan dijadualkan bermula 8.30 malam pada 2 dan 3 Oktober ini di Panggung Sari, Istana Budaya

KUALA LUMPUR, 24 September – Komposer tempatan, Aubrey Suwito, bakal membawakan 16 lagu ciptaannya menerusi persembahan “Pop Meets Symphony” selama dua hari di Panggung Sari, Istana Budaya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Persembahan diiringi National Symphony Orchestra dan menampilkan penyanyi tempatan Ernie Zakri, Syamel serta Shiha Zikir.
  • Tiga segmen Inspirasi, Ekspresi dan Apresiasi termasuk lagu popular seperti Gemilang, Seribu Impian, Memori Tercipta, Awan Yang Terpilu, Menuju Puncak.
  • Aubrey pemegang MOCA, graduan Berklee Summa Cum Laude, penerima 26 AIM, serta pernah berkolaborasi dengan artis antarabangsa ternama.

Persembahan yang diiringi National Symphony Orchestra (NSO) itu turut menampilkan tiga penyanyi tempatan, Ernie Zakri, Syamel dan Shiha Zikir.

Sebanyak 16 lagu akan dipersembahkan menerusi tiga segmen iaitu Inspirasi, Ekspresi dan Apresiasi, termasuk Gemilang, Seribu Impian, Memori Tercipta, Gemuruh, Awan Yang Terpilu dan Menuju Puncak.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Istana Budaya, Johan Cruyff @ Md Nordin, berkata pemilihan Aubrey sebagai tokoh muzik yang diketengahkan bertepatan dengan pencapaian dan sumbangannya dalam industri muzik tempatan hingga ke peringkat antarabangsa.

“Pemilihan Aubrey Suwito sebagai tokoh muzik yang diketengahkan ini amatlah bertepatan dengan pelbagai pencapaian serta sumbangan beliau dalam melakar sejarah industri muzik tempatan hinggalah ke tahap antarabangsa,” katanya.

Konduktor NSO, Eric Lee, berkata program itu memberi penghargaan kepada Aubrey sebagai tokoh komposisi muzik tanah air yang banyak menyumbang kepada negara.

Aubrey merupakan pemegang Master of Creative Arts (MOCA) dan graduan Berklee College of Music dengan anugerah Summa Cum Laude, selain pernah menerima 26 Anugerah Industri Muzik (AIM) dalam pelbagai kategori.

Antara karya yang mencatat kejayaan termasuk Gemilang nyanyian Jaclyn Victor, Lebih Indah oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Memori Tercipta oleh Shila Amzah.

Selain itu, Aubrey turut terlibat dalam persembahan bersama beberapa artis antarabangsa termasuk David Foster, Brian McKnight, Peter Cetera, CeeLo Green, Chaka Khan, Eric Benet, Babyface, Kris Dayanti dan Yuna.

Dalam persembahan itu, Aubrey turut dijadualkan mempersembahkan sebuah lagu baharu ciptaannya untuk Shiha Zikir yang akan diperdengarkan buat kali pertama secara eksklusif di Istana Budaya.

Persembahan dijadualkan bermula 8.30 malam pada 2 dan 3 Oktober ini.

Tiket persembahan itu boleh didapati menerusi laman web CloudJoi, dengan harga bermula RM78 bagi Gemilang, RM128 (Memori Tercipta), RM168 (Seribu Impian), RM188 (Awan Yang Terpilu) dan RM259 (Gemuruh).

Potongan harga 10 peratus turut ditawarkan kepada warga emas, pemegang Kad OKU, pelajar dan penjawat awam bagi tiket Awan Yang Terpilu, menjadikan harga selepas diskaun RM169.20.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.