
TAIPING, 21 September – Status operasi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) masih menunggu hasil siasatan susulan insiden pesawat yang terhempas.
- Kementerian belum menetapkan tempoh keputusan kerana ia bergantung sepenuhnya kepada hasil siasatan.
- Sejurus mendapat hasil siasatan, kementerian akan mengambil langkah serta-merta mengenai operasi berkenaan.
- Kenyataan itu disampaikan Menteri Kesihatan semasa sidang media selepas lawatan kerja di Hospital Taiping.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya belum dapat menetapkan tempoh masa untuk keputusan berhubung operasi berkenaan namun tindakan segera akan diambil sebaik keputusan berkaitan operasi itu dimuktamadkan.
“Sejurus kita mendapat hasil siasatan, kita akan mulakan semula. Tetapi selagi keputusan belum dibuat, semuanya bergantung kepada hasil siasatan dan perkara-perkara berkaitan.
“Jadi, kita tunggu dahulu hasil siasatan dan sejurus kita mendapatkannya, kita akan ambil langkah seterusnya untuk membuat keputusan mengenai perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Hospital Taiping di sini.
Menurut Datuk Seri Dr Dzulkefly kementerian itu tidak menetapkan tempoh dua hingga tiga bulan bagi keputusan berkenaan kerana ia bergantung kepada hasil siasatan.