
PETALING JAYA, 21 September – Tiga pemain mengalami kecederaan memaksa Ketua Jurulatih Interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe melakukan rombakan terhadap senarai 23 pemain bagi menghadapi Piala ASEAN FIFA 2026 di Indonesia.
- Faris Danial, Sergio Aguero dan Romel Morales diketepikan kerana kecederaan: masalah betis, belum pulih sepenuhnya dan isu hamstring.
- Harith Haiqal, Syahir Bashah dan Paulo Josue dipanggil sebagai pengganti dalam skuad.
- Cheng Hoe optimis pengganti mampu memberi impak; Harith dan Paulo berpengalaman, Syahir terima peluang pertama selepas prestasi baik.
Pemain yang terpaksa diketepikan ialah Faris Danial, Sergio Aguero dan Romel Morales.
Tempat mereka masing-masing digantikan dengan Harith Haiqal, Syahir Bashah dan Paulo Josue.
Cheng Hoe berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira tahap kecergasan pemain yang masih belum mencapai 100 peratus.
“Kita ada 23 pemain dalam skuad dan tiga pemain mengalami kecederaan, jadi kita terpaksa menukarkan pemain-pemain tersebut.
“Faris mengalami masalah betis dan perlukan rehat, manakala Aguero masih belum pulih 100 peratus dan kita tidak mahu ambil risiko. Begitu juga Morales yang berdepan isu hamstring,” katanya.
Beliau berkata demikian pada hari pertama kem latihan skuad kebangsaan di Petaling Jaya, hari ini.
Mengulas tiga pemain pengganti itu, Cheng Hoe berkata barisan jurulatih mengambil masa untuk mengenal pasti potensi mereka selain, optimis ketiga-tiga pemain berkenaan mampu memainkan peranan masing-masing.
Katanya, Harith Haiqal dan Paulo Josue mempunyai pengalaman bersama skuad kebangsaan, manakala Syahir Bashah mendapat peluang pertama bersama pasukan negara selepas menunjukkan prestasi baik bersama Selangor.
“Pemain gantian yang dibawa masuk ini sentiasa bersedia dan menunjukkan prestasi baik bersama pasukan masing-masing.
“Kita beri peluang dan berharap mereka mampu memberi impak serta motivasi kepada pasukan,” jelasnya.
Harimau Malaya dijadual membuka kempen menentang Bangladesh sebelum berdepan tuan rumah Indonesia dan Singapura dalam saingan kumpulan.
Piala ASEAN FIFA 2026 berlangsung di Jakarta dan Bandung dari 25 September hingga 5 Oktober ini.