Bergson, Hidalgo, Feroz suntik nafas baharu kepada Harimau Malaya

Ketua Jurulatih Interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe / Foto RTM

PETALING JAYA, 21 September – Kehadiran Bergson Da Silva, Hidalgo dan Feroz dijangka memberikan dimensi baharu kepada skuad Harimau Malaya menjelang kempen Piala ASEAN FIFA 2026 di Indonesia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tan Cheng Hoe menganggap mereka tambahan penting untuk memperkukuh jentera serangan dan pertahanan.
  • Bergson diharapkan menyelesaikan masalah jaringan kerana reputasinya sebagai penyudah terbaik Liga Malaysia.
  • Pilihan serangan lebih luas membawa tekanan dan harapan tinggi; Cheng Hoe akan beri keyakinan dan panduan kepada pemain.

Ketua Jurulatih Interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, menyifatkan ketiga-tiga pemain berkenaan sebagai tambahan penting yang mampu memberikan nafas baharu kepada pasukan, khususnya dalam usaha memperkukuh jentera serangan dan pertahanan.

“Ketiga-tiga pemain baharu ini memberi satu nafas baharu dalam pasukan. Kita sedia maklum Bergson adalah penyudah terbaik dalam Liga Malaysia dan sudah serasi dengan pemain tempatan.

“Kehadiran pemain seperti Manuel Hidalgo dan kelibat Feroz Baharudin juga memberi kestabilan dan kekuatan fizikal tambahan, khususnya di benteng pertahanan,” katanya ketika ditemui pada hari pertama kem latihan skuad kebangsaan di Petaling Jaya, hari ini.

Sementara itu, mengulas pilihan di bahagian serangan, Cheng Hoe mengakui beliau kini mempunyai lebih banyak pilihan menerusi kehadiran Arif, Faisal, Hidalgo dan Bergson.

Namun, katanya, pilihan yang lebih luas itu turut hadir bersama tekanan dan harapan tinggi daripada penyokong.

“Kalau kita lihat dari segi Bergson, dari segi jaringan memang kita harapkan dia mampu selesaikan masalah di bahagian serangan kita,” katanya.

Cheng Hoe bagaimanapun mengingatkan pemainnya bahawa pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa berbeza dengan saingan domestik, terutama dari segi tekanan dan harapan penyokong.

Katanya, tugasnya kini adalah memberikan keyakinan serta panduan supaya pemain dapat menyesuaikan diri dan memberikan prestasi terbaik sepanjang kejohanan.

Harimau Malaya akan memulakan kempen Piala ASEAN FIFA 2026 menentang Bangladesh sebelum berdepan Indonesia dan Singapura dalam saingan kumpulan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.