
KUALA LUMPUR, 21 September – Kerajaan dijangka terus memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pendapatan rakyat di samping mengawal kos sara hidup menerusi pembentangan Belanjawan 2027 akan datang.
- Ambil pendekatan seimbang supaya peningkatan pendapatan tidak terhakis oleh kenaikan kos perbelanjaan harian.
- Luaskan ruang fiskal tanpa cukai baharu melalui e-Invois dan penyasaran subsidi BUDI MADANI.
- Kekalkan komitmen perbelanjaan mengurus dan pembangunan untuk menjamin kelangsungan perkhidmatan asas rakyat.
- Cari titik keseimbangan gaji minimum antara kebajikan pekerja dan kemampuan PKS; teruskan subsidi bersasar petrol untuk kawal inflasi.
Felo Penyelidik Pusat Ekonomi Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr. Muhammad Irwan Ariffin berkata, pendekatan seimbang perlu diambil bagi memastikan nilai peningkatan pendapatan rakyat tidak terhakis akibat peningkatan kos perbelanjaan harian.
Strategi peluasan ruang fiskal tanpa mengenakan beban cukai baharu menerusi pelaksanaaan e-Invois dan penyasaran subsidi seperti BUDI MADANI membolehkan kewangan negara diuruskan secara lebih berhemah.
“Jadi, mungkin dalam Belanjawan 2027 ini, kita boleh menjangkakan kerajaan akan terus memastikan sektor-sektor yang diberi keutamaan adalah sektor yang memberi impak besar kepada kebajikan rakyat.
“Saya beranggapan, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah sektor-sektor yang mungkin menjadi penghalang kepada keupayaan rakyat untuk meningkatkan produktiviti mereka.
“Sekiranya kerajaan hanya menumpukan kepada usaha meningkatkan pendapatan rakyat, tetapi pada masa sama tidak melihat kepada keperluan mengurangkan kos yang perlu ditanggung, hasil daripada peningkatan pendapatan itu mungkin tidak dapat diterjemahkan kepada peningkatan kebajikan rakyat secara berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu Bicara Naratif bertajuk Belanjawan Harapan Rakyat di Angkasapuri Kota Media di sini.
Mengulas mengenai perbelanjaan awam, Dr. Mohd Irwan menjelaskan komitmen perbelanjaan mengurus dan pembangunan perlu dikekalkan bagi menjamin kelangsungan perkhidmatan asas rakyat.
Kerajaan MADANI telahpun menguruskan keseimbangan kedua-dua perbelanjaan dengan bijak khususnya menerusi penyaluran subsidi bersasar.
“Antara pilihan yang paling mudah ialah meningkatkan kadar cukai. Namun, sekiranya kerajaan cermat, bijak dan cekap menguruskan hasil negara, kita boleh mendapatkan sumber hasil tambahan tanpa mengenakan beban tambahan kepada rakyat.
“Ini boleh dicapai melalui pengurusan kutipan hasil yang berhemah, termasuk usaha mengelakkan ketirisan.
“Kita dapat melihat pendekatan seperti ini telah dilaksanakan oleh kerajaan sejak kebelakangan ini. Ia menunjukkan adanya kemahuan politik yang kukuh (strong political will) serta pendekatan yang bertanggungjawab dalam menguruskan hasil dan perbelanjaan negara,” katanya lagi.
Mengenai penetapan kadar gaji minimum, kerajaan perlu mencari titik keseimbangan antara kebajikan pekerja dan kemampuan sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi mengelakkan risiko penguncupan produktiviti serta kadar pengangguran.
“Bagi memastikan kenaikan gaji memberi impak positif, kos asas kehidupan perlu terus dikawal. Penerusan subsidi bersasar petrol memainkan peranan penting dalam menstabilkan kadar inflasi dan kos logistik,” katanya.
Belanjawan 2027 akan dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober depan dan merupakan belanjawan kelima bawah pentadbiran Kerajaan MADANI serta belanjawan kedua bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).