Prospek pasaran hartanah dijangka terus mengukuh pada 2027

Sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) AmFIRST REIT di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 21 September Prospek pasaran hartanah khususnya segmen pejabat dijangka terus mengukuh pada 2027 didorong peningkatan permintaan terhadap ruang pejabat, bagi menyokong pengembangan operasi perniagaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemulihan sektor pejabat kini semakin positif, lebih baik berbanding semasa dan sejurus selepas pandemik COVID-19.
  • Segmen runcit menunjukkan momentum positif manakala sektor hospitaliti mencatat permintaan menggalakkan disokong ketibaan pengunjung.
  • Pemegang unit meluluskan penjualan Menara AmBank RM331 juta, mengurangkan kadar hutang kepada kira-kira 33 peratus dan membolehkan pengambilalihan sektor penjagaan kesihatan, perindustrian, logistik, pendidikan.

Ketua Pegawai Eksekutif AmREIT Managers Sdn Bhd (AmREIT Managers) Chong Hong Chuon berkata, perkembangan itu menunjukkan pemulihan sektor pejabat kini semakin positif.

“Keadaan adalah lebih baik berbanding semasa dan sejurus selepas pandemik COVID-19, apabila sektor ini terjejas dengan lebihan bekalan dan trend bekerja dari rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) AmFIRST REIT di ibu negara.

Segmen runcit turut menunjukkan momentum positif, manakala sektor hospitaliti terus menyaksikan permintaan yang menggalakkan, disokong oleh ketibaan pengunjung.

Dalam perkembangan lain, pemegang unit AmFIRST Real Estate Investment Trust (AmFIRST REIT) hari ini meluluskan cadangan penjualan Menara AmBank bernilai RM331 juta.

Ia seterusnya membolehkan AmFIRST REIT meneruskan pengambilalihan baharu dalam sektor penjagaan kesihatan, perindustrian, logistik dan pendidikan.

Penjualan itu akan mengurangkan tahap kadar hutang AmFIRST REIT kepada kira-kira 33 peratus daripada 46 peratus hingga 47 peratus.

Sehubungan itu, ia akan memberikan AmFIRST REIT lembaran imbangan yang baik bagi meneruskan strategi pempelbagaian portfolio hartanah bank itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.