Sukan Asia 2026 : Karate negara raih dua gangsa pada hari pembukaan

K. Thevendran (kiri) dan H. Sureeya Shankar dalam aksi penentuan gangsa / Foto Majlis Sukan Negara

NAGOYA, 20 September – Kem karate negara membuka tirai Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan dua pingat gangsa, sekali gus memberikan permulaan positif dalam usaha mencapai sasaran enam pingat pada temasya kali ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • K. Thevendran menewaskan Rakesh Manandhar 9-1 dalam repechage kumite lelaki bawah 55kg, mendahului 3-1 dalam minit pertama.
  • H. Sureeya Shankar menang penentuan gangsa 10-2 ke atas Van Duc Chu selepas menghadapi tentangan sengit awal.
  • Prestasi lebih baik berbanding Hangzhou 2022; Malaysia hanya meraih satu emas melalui Arif Afifuddin dalam kumite 84kg.
  • Beberapa wakil negara akan meneruskan cabaran; perhatian tertumpu kepada C. Shahmalarani yang diharap memburu pingat termasuk emas.

Pingat pertama hadir menerusi K. Thevendran yang menewaskan wakil Nepal, Rakesh Manandhar, 9-1 dalam aksi repechage kumite lelaki bawah 55 kilogram (kg) di Gimnasium Toyohashi, Aichi, hari ini.

Thevendran tampil yakin sejak awal pertarungan apabila mendahului 3-1 dalam tempoh seminit pertama, sebelum terus mengawal rentak bagi melebarkan jurang dan memastikan kemenangan.

Rakesh gagal merapatkan kedudukan apabila Thevendran kekal agresif melancarkan serangan, sekali gus mengesahkan tempatnya di podium.

Malaysia kemudian menambah satu lagi gangsa menerusi H. Sureeya Shankar dalam acara kumite lelaki 68kg.

Berdepan wakil Vietnam, Van Duc Chu dalam aksi penentuan gangsa, H. Sureeya berdepan tentangan sengit pada awal pertarungan sebelum menguasai aksi untuk mencatat kemenangan 10-2.

Dua gangsa itu memberikan permulaan lebih baik buat kem karate negara berbanding edisi Hangzhou 2022 apabila Malaysia hanya meraih satu emas pada penghujung temasya menerusi Arif Afifuddin dalam acara kumite 84kg.

Beberapa lagi wakil negara akan meneruskan cabaran karate selepas ini, dengan perhatian turut terarah kepada C. Shahmalarani yang diharapkan mampu menambah koleksi pingat negara, termasuk memburu emas.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.