Harimau Malaya ‘mengaum’ dalam jersi baharu pada Piala ASEAN FIFA

Foto Facebook Harimau Malaya

KUALA LUMPUR, 20 September – Jersi baharu pasukan bola sepak kebangsaan, yang diilhamkan daripada corak belang badan Harimau Malaya, kini berada di pasaran menjelang kejohanan sulung Piala ASEAN FIFA 2026 di Indonesia dari 25 September hingga 5 Oktober ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Puma umum jersi home hitam-kuning, away biru kelabu dengan kemasan merah dan putih pada kolar.
  • Harga retail jersi RM319; edisi authentic versi pemain dijual pada RM549.
  • Skuad Harimau Malaya berlepas ke Jakarta untuk beraksi dalam Kumpulan A bersama Indonesia, Singapura dan Bangladesh.
  • Malaysia mulakan kempen menentang Bangladesh 25 Sept, jumpa Indonesia 28 Sept, tutup kumpulan lawan Singapura 1 Okt.

Menurut Puma, rakan pakaian dan jersi rasmi Harimau Malaya, jersi home baharu menampilkan jalur berwarna hitam dan kuning, manakala jersi away baharu menggunakan tona warna biru kelabu dengan kemasan merah dan putih pada bahagian kolar.

Jersi retail (versi peminat) berharga RM319, manakala edisi authentic (versi pemain) dijual pada harga RM549.

Skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Jakarta pada Selasa untuk bersaing dalam Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026, dan diundi dalam Kumpulan A bersama-sama tuan rumah Indonesia, selain Singapura dan Bangladesh.

Kumpulan B pula merangkumi Vietnam, Thailand, Filipina dan Pakistan.

Malaysia, yang berada pada kedudukan ke-136 dunia, akan memulakan kempen menentang Bangladesh yang menduduki ranking ke-181 di Gelora Bung Karno, Jakarta pada 25 September.

Skuad kebangsaan kemudian akan bertemu Indonesia yang berada di kedudukan ke-118 dunia, di venue yang sama pada 28 September, sebelum mengakhiri kempen Kumpulan A berdepan Singapura, ranking ke-148 dunia, di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung pada 1 Oktober.

Mengikut format kejohanan, juara Kumpulan A dan Kumpulan B akan bertemu dalam perlawanan akhir di Gelora Bung Karno pada malam 5 Oktober, manakala naib juara kedua-dua kumpulan akan berentap dalam perlawanan penentuan tempat ketiga di venue sama pada sebelah siang, hari yang sama.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.