Pengampunan DS Najib: Kerajaan ambil maklum, hormati keputusan YDP Agong

Datuk Seri Fahmi Fadzil / Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 September – Kerajaan mengambil maklum dan menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan dibuat menerusi kuasa Seri Paduka Baginda di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
  • Perdana Menteri dan Peguam Negara memberi nasihat mengenai implikasi undang-undang, kestabilan negara dan prinsip negara hukum.
  • Pengampunan bersyarat: tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, denda RM50 juta, syarat dipatuhi; pelanggaran batalkan pengampunan.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat menerusi kuasa Seri Paduka Baginda untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum seperti diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan khususnya Perdana Menteri dan Peguam Negara telah menyampaikan nasihat berkaitan implikasi undang-undang, kestabilan negara serta prinsip negara hukum,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Datuk Seri Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI memberi jaminan pendirian kerajaan dalam memerangi rasuah tidak berubah.

“Semua kes, termasuk kes Datuk Seri Najib yang sedang berjalan dan kes-kes rasuah lain, akan terus diproses mengikut landasan undang-undang,” katanya.

Terdahulu, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib dengan membenarkan Perdana Menteri Keenam itu menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.

Perintah itu tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan syarat yang ditetapkan sepanjang tempoh tahanan di rumah.

Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, keputusan berkenaan dibuat pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Istana Negara, hari ini.

Sekiranya mana-mana syarat tidak dipatuhi, pengampunan bersyarat itu akan terbatal dan Datuk Seri Najib perlu meneruskan baki hukumannya di penjara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.