Pengampunan Najib: Kuasa terletak pada Yang di-Pertuan Agong – PM

Datuk Seri Anwar /RTM

PUTRAJAYA, 18 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kuasa pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak terletak pada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri memberi nasihat tentang implikasi undang-undang, kestabilan negara dan prinsip negara hukum berdasarkan panduan bertulis Peguam Negara.
  • Keputusan pengampunan tidak menjejaskan prinsip negara hukum; kerajaan kekal berpendirian mengambil tindakan terhadap semua kes rasuah.
  • BHEUU mengesahkan pengampunan bersyarat Najib; baki hukuman tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, syarat denda RM50 juta.

Beliau berkata, sebagai Perdana Menteri, tanggungjawabnya adalah memberikan nasihat berkaitan implikasi undang-undang, kestabilan negara dan prinsip negara hukum.

Katanya, pandangan berkenaan dibuat berdasarkan nasihat serta panduan bertulis Peguam Negara.

“Saya selaku Perdana Menteri, tugas saya adalah memberikan nasihat tentang implikasi undang-undang, kestabilan negara dan prinsip negara hukum, serta mengikut nasihat dan panduan yang ditulis lengkap serta panjang oleh Peguam Negara.

“Walau bagaimanapun, Perlembagaan menetapkan kuasa mutlak terletak pada Yang di-Pertuan Agong, dan saya berharap kita dapat menerimanya dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menunaikan Solat Jumaat di Surau Nur Perdana, Presint 10, Putrajaya, hari ini bersama kira-kira 1,000 jemaah.

Khutbah Jumaat bertajuk “Bekalan Menuju Hari Akhirat” disampaikan Imam dan Khatib, Muawwidz Al-Ansori Dzulkefly.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar menegaskan keputusan berkenaan tidak menjejaskan prinsip negara hukum dan pendirian kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap semua kes rasuah.

Beliau berkata semua kes, termasuk yang sedang berjalan membabitkan Datuk Seri Najib, perlu terus mengikut landasan undang-undang.

“Saya tegaskan bahawa semua kes, sama ada yang melibatkan Datuk Seri Najib yang sedang berjalan mahupun kes-kes rasuah lain, mesti berjalan mengikut landasan undang-undang.

“Ini tidak bermakna negara harus tunduk kepada amalan perompak dan rasuah,” jelasnya.

Terdahulu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib, dengan baki hukuman dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kali ke-64 dan antara syarat ditetapkan ialah pembayaran denda RM50 juta.

Sekiranya syarat ditetapkan tidak dipatuhi, pengampunan bersyarat berkenaan terbatal dan baki hukuman perlu diteruskan di penjara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.