
JOHOR BAHRU, 19 September – Johor kini menjadi pengeluar utama udang marin negara yang menyumbang sebanyak 25.27 peratus pengeluaran, mengatasi Perak dan Kedah.
- Projek Ternakan Udang Putih di Kampung Sungai Danga diusahakan oleh Persatuan Nelayan Negeri Johor (JOSFA).
- Sejak operasi September hingga Disember 2025, projek menghasilkan 13.5 tan udang putih yang dipasarkan sekitar Johor Bahru.
- Kerajaan Negeri menyasarkan pengeluaran akuakultur sekitar 38,000 hingga 40,000 metrik tan setahun menjelang 2027, sambil terus menyokong komuniti nelayan.
Antara penyumbang udang marin negeri, adalah menerusi Projek Ternakan Udang Putih di Kampung Sungai Danga, Johor Bahru yang diusahakan oleh Persatuan Nelayan Negeri Johor (JOSFA).
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Md Israk Abdullah berkata sebanyak 13.5 tan udang putih berjaya dihasilkan sejak operasi itu bermula pada September hingga Disember 2025 dan dipasarkan sekitar Johor Bahru.
“Saya berpeluang turun ke tapak melihat sendiri bagaimana udang putih diternak menggunakan sistem tangki dan paling penting, mendengar sendiri perkembangan projek daripada mereka yang mengusahakannya.
“Projek di kawasan seluas 4.075 ekar ini mempunyai 11 buah tangki, terdiri daripada sembilan tangki ternakan dan dua tangki rawatan air”, katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata Kerajaan Negeri turut menyasarkan pengeluaran akuakultur Johor dapat ditingkatkan kepada sekitar 38,000 hingga 40,000 metrik tan setahun menjelang 2027.
“Projek seperti ini penting untuk terus kita sokong dan kembangkan.
“Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian kepada sektor akuakultur supaya pengeluaran hasil tempatan dapat dipertingkatkan, sekali gus memberi manfaat dan peluang ekonomi kepada komuniti nelayan kita”, katanya.