Proklamasi 19 April tidak sah, MMKN tiada kuasa unilateral – AGC

Jabatan Peguam Negara

KUALA LUMPUR, 17 September – Proklamasi mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertarikh 19 April 2026 tidak sah, kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959), menurut Jabatan Peguam Negara (AGC).

RINGKASAN BERITA AI
  • AGC menyatakan proklamasi berkenaan tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS 1959 dan oleh itu tidak sah.
  • Menteri Besar dan MMKN tiada kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.
  • Pengumuman MMKN atau tindakan pewartaan berkaitan proklamasi tidak mempunyai kesan undang-undang dan adalah tidak berperlembagaan.
  • Komposisi Dato'-Dato' Undang dipertikaikan; kes sedang di mahkamah dengan perintah injunction; AGC menyeru hormati proses mahkamah.

AGC dalam kenyataan malam ini, turut menegaskan Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan juga tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Menurutnya, kesahan serta kesan Proklamasi itu hendaklah ditentukan menerusi proses perlembagaan dan undang-undang yang sah, selaras dengan UUTKNS 1959.

“Jabatan ini telah memberi pandangan awal bahawa Proklamasi bertarikh 19 April 2026 adalah tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak-kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS, khususnya tiada sebarang keterangan bahawa mana-mana faktor hilang kelayakan yang dinyatakan dalam Perkara 10(1) UUTKNS terpakai kepada DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.

“Walaupun jelas Dato’-Dato’ Undang mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan supaya DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan diturunkan takhta, namun Perkara 10 UUTKNS turut memperuntukkan tatacara dan asas-asas pertimbangan sebelum Dato’-Dato’ Undang boleh membuat keputusan sedemikian,” menurut kenyataan itu.

AGC menegaskan, setakat ini tiada fakta yang menunjukkan tatacara yang diperuntukkan berkenaan telah dipatuhi.

Dalam pada itu, AGC turut mengambil maklum isu berhubung keabsahan beberapa Dato’-Dato’ Undang yang menandatangani Proklamasi berkenaan.

Menurut AGC, terdapat dalam kalangan mereka yang dipertikaikan kedudukannya kerana telah diturunkan daripada jawatan melalui adat di luak masing-masing.

“Oleh itu sebenarnya komposisi Undang Yang Empat adalah tidak lengkap pada masa yang material,” katanya.

AGC bagaimanapun berkata pihaknya menghormati kedudukan Dato’-Dato’ Undang Negeri Sembilan dan akur bahawa pelantikan serta penurunan setiap mereka adalah tertakluk kepada peraturan adat di luak masing-masing.

Pada masa sama, AGC berkata UUTKNS 1959 memperuntukkan penubuhan Dewan Undangan dan Keadilan, dengan Perkara 16 menetapkan bahawa persoalan adat Melayu, termasuk pemilihan, pelantikan, peletakan dan pemecatan jawatan Undang serta apa-apa perkara yang dibawa oleh Yang di-Pertuan Besar, terletak dalam bidang kuasa Dewan berkenaan.

Menurut Perkara 16(3) UUTKNS 1959, nasihat Dewan mengenai persoalan berkenaan adalah muktamad dan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan.

Sehubungan itu, AGC berkata kenyataan media atau pengumuman oleh ahli-ahli MMKN Negeri Sembilan berkaitan perkara tersebut tidak mempunyai sebarang kesan di sisi undang-undang kerana mereka tidak mempunyai bidang kuasa, autoriti atau kuasa di bawah UUTKNS 1959 untuk membuat pengumuman berkenaan.

“Juga, tiada asas di sisi undang-undang bagi ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk bersandar kepada Proklamasi bertarikh 19 April 2026 bagi pengumuman mereka.

“Berdasarkan perkara-perkara di atas tindakan pewartaan atau apa-apa tindakan pelaksanaan Proklamasi tersebut adalah menjadi suatu tindakan yang tidak sah kerana tidak berperlembagaan,” katanya.

AGC turut memaklumkan bahawa perkara berkenaan sedang dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Malaya di Seremban, selain terdapat perintah mahkamah dalam bentuk interlocutory injunction yang masih berkuat kuasa.

“Justeru, Jabatan ini menyeru semua pihak supaya menghormati proses mahkamah dan membenarkan ia diselesaikan secara teratur,” menurut kenyataan itu lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.