
KUALA LUMPUR, 17 September – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menjalin kerjasama strategik dengan pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd (PROTON) bagi menyokong kelancaran pengurusan logistik dan pergerakan delegasi antarabangsa sempena Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2026.
- PROTON dilantik rakan mobiliti rasmi MIHAS 2026, menyediakan 20 kenderaan untuk kegunaan sepanjang penganjuran acara.
- Penyerahan kenderaan di Menara MATRADE disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.
- MIHAS 2026 edisi ke-22 di MITEC, 23-26 September; merangkumi 14 kluster pameran serta program INSP, Hab Pengetahuan, Anugerah MIHAS dan WiEX.
Menerusi kerjasama itu, PROTON dilantik sebagai rakan mobiliti rasmi MIHAS 2026 dengan menyediakan 20 kenderaan untuk kegunaan sepanjang penganjuran acara berkenaan.
Penyerahan kenderaan berlangsung di Menara MATRADE dan disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Abu Bakar Yusof serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa.
Menurut Datuk Abu Bakar, kerjasama berkenaan turut membuka ruang kepada jenama tempatan untuk meningkatkan keterlihatan dalam kalangan delegasi dan peserta antarabangsa yang menghadiri MIHAS.
“Saya berharap lebih banyak syarikat tempatan memanfaatkan platform MIHAS untuk memperluas rangkaian perniagaan serta meningkatkan pendedahan produk dan perkhidmatan Malaysia di pasaran global,” jelas beliau.
MIHAS 2026 yang memasuki edisi ke-22 merangkumi 14 kluster pameran selain Program Penyumberan Antarabangsa (INSP), Hab Pengetahuan, Anugerah MIHAS serta program Women in Export (WiEX).
Program berlangsung dari 23 hingga 26 September 2026 di MITEC Kuala Lumpur.