MASkargo, IAG Cargo dan Qatar Airways Cargo selesai ujian penghantaran kargo pertama

Foto fail MASkargo

KUALA LUMPUR, 17 September – MAB Kargo Sdn Bhd (MASkargo), International Airlines Group (IAG) Cargo dan Qatar Airways Cargo berjaya menyelesaikan ujian penghantaran kargo pelanggan pertama yang diangkut menerusi ketiga-tiga syarikat penerbangan berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menandakan perkembangan penting menjelang pelancaran penuh kerjasama perniagaan kargo akhir tahun ini.
  • Memberi gambaran awal manfaat pelanggan melalui kekuatan rangkaian gabungan rakan kongsi.
  • Penghantaran ujian melibatkan 11 tan kerajang tembaga dari Kuala Lumpur ke Chicago melalui Doha dan Dublin.
  • Pelancaran penuh memberi akses kepada lebih 400 destinasi di enam benua, fleksibiliti lebih tinggi dan pilihan laluan lebih luas.

Pencapaian itu menandakan perkembangan penting menjelang pelancaran penuh kerjasama perniagaan kargo global ketiga-tiga syarikat pada akhir tahun ini.

Dalam kenyataan hari ini, MASkargo memaklumkan penghantaran berkenaan memberi gambaran awal mengenai manfaat yang bakal dinikmati pelanggan menerusi kekuatan gabungan ketiga-tiga syarikat penerbangan itu.

Menurutnya, kargo berkenaan bergerak merentasi pelbagai syarikat penerbangan, hab dan wilayah menerusi rangkaian yang diselaraskan.

“Penghantaran tiga hala pertama berkenaan melibatkan 11 tan kerajang tembaga yang diangkut dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Chicago O’Hare melalui Doha dan Dublin.

“Dihantar dari Malaysia yang merupakan hab pengeluaran elektronik terkemuka, penghantaran ini menggariskan kepentingan menghubungkan pusat pengeluaran dengan pasaran permintaan global menerusi rangkaian yang sangat bersepadu,” menurut kenyataan itu.

Kerjasama perniagaan bersama kargo global tersebut diumumkan pada 2025, dengan menggabungkan rangkaian ketiga-tiga syarikat penerbangan kargo berkenaan bagi mewujudkan rangkaian global yang lebih luas.

Foto fail MASkargo

Apabila dilancarkan sepenuhnya, pelanggan bakal memperoleh akses kepada lebih 400 destinasi di enam benua menerusi satu rangkaian yang saling berhubung, selain menawarkan fleksibiliti lebih tinggi, pilihan laluan lebih luas serta akses lebih pantas ke pasaran global.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MASkargo Mark Jason Thomas, berkata pencapaian itu menyerlahkan matlamat utama kerjasama berkenaan untuk menghubungkan perniagaan dengan peluang lebih besar menerusi kekuatan gabungan ketiga-tiga syarikat penerbangan kargo tersebut.

“Bagi MASkargo, melihat penghantaran pertama ini bergerak dari Malaysia merentasi rangkaian rakan kongsi kami membuktikan potensi kerjasama ini dalam mengukuhkan hubungan antara pusat-pusat pengeluaran di Asia dengan permintaan global.

“Ketika kami menuju ke arah pelancaran, tumpuan bersama kami adalah untuk merealisasikan potensi tersebut melalui akses yang lebih luas kepada pasaran, fleksibiliti yang lebih tinggi serta nilai yang berkekalan untuk pelanggan kami,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.