Gas Malaysia, Air Liquide teroka inisiatif gas rendah karbon, hidrogen

Gas Malaysia

BANGKOK, 17 September – Gas Malaysia Bhd dan syarikat dari Perancis, Air Liquide Engineering & Construction memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi meneroka inisiatif tenaga rendah karbon di Malaysia, termasuk hidrogen rendah karbon, pengambilan karbon dioksida serta bio-gas asli cecair (Bio-LNG).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama menyokong peralihan tenaga melalui gabungan capaian pasaran dan rangkaian infrastruktur Gas Malaysia dengan kepakaran kejuruteraan Air Liquide.
  • Tumpuan kepada gas boleh baharu termasuk projek Bio-LNG serta peluang pengambilan karbon dioksida melibatkan kemudahan Gas Malaysia dan pihak ketiga.
  • Meneroka teknologi hidrogen rendah karbon dan penyelesaian industri bagi menyokong penyahkarbonan, selaras strategi GM32 dan aspirasi NETR.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gas Malaysia, Azli Mohamed berkata kerjasama itu akan menyokong peralihan tenaga negara menerusi gabungan capaian pasaran dan rangkaian infrastruktur gas syarikat berkenaan dengan kepakaran global Air Liquide dalam teknologi gas industri dan kejuruteraan.

“Seiring dengan perubahan landskap tenaga Malaysia, industri memerlukan penyelesaian praktikal yang menyokong usaha penyahkarbonan, pada masa sama memastikan kebolehpercayaan sistem bekalan.

“Melalui rangka kerja kerjasama ini, kedua-dua syarikat akan meneroka peluang yang menggabungkan capaian pasaran dan rangkaian infrastruktur gas Gas Malaysia dengan keupayaan global Air Liquide dalam teknologi dan kejuruteraan bagi membantu pelanggan mengharungi peralihan tenaga,” katanya dalam kenyataan sempena GASTECH 2026 di sini hari ini.

MoU itu ditandatangani di luar persidangan GASTECH 2026.

Menurut Gas Malaysia, kerjasama berkenaan akan memberi tumpuan kepada inisiatif gas boleh baharu, termasuk projek Bio-LNG serta peluang pengambilan karbon dioksida membabitkan kemudahan Gas Malaysia dan pihak ketiga.

Kedua-dua syarikat turut akan meneroka penggunaan teknologi Air Liquide bagi penyelesaian hidrogen rendah karbon, selain peluang lebih luas untuk menyokong penyahkarbonan industri dan pembangunan ekonomi rendah karbon.

Azli berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen Gas Malaysia untuk mengembangkan perniagaannya melangkaui bekalan gas konvensional menerusi kerjasama strategik dalam bidang gas boleh baharu, hidrogen dan penyelesaian industri rendah karbon yang lain.

“Selaras dengan strategi GM32 Gas Malaysia, kerjasama ini membina usaha penyahkarbonan berterusan kumpulan,” katanya.

Beliau berkata inisiatif berkenaan turut menyokong aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), khususnya dalam memajukan alternatif tenaga rendah karbon dan menyokong usaha penyahkarbonan industri.

Gas Malaysia, anggota MMC Corporation Bhd, ditubuhkan pada 16 Mei 1992.

Perniagaan teras syarikat menerusi anak syarikat milik penuhnya, Gas Malaysia Distribution Sdn Bhd dan Gas Malaysia Energy and Services Sdn Bhd, adalah menjual, memasarkan dan mengagihkan gas asli melalui lesen pengedaran selama 20 tahun dan lesen penghantaran selama 10 tahun yang dikeluarkan Suruhanjaya Tenaga.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.