
DUNGUN, 17 September – Bapa kepada bayi berusia empat bulan yang meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di Bandar Al-Muktafibillah Shah, di sini pada 7 September lalu, menuntut siasatan lebih telus dan menyeluruh berhubung kejadian itu.
- Bapa menuntut siasatan telus dan menyeluruh berhubung kejadian.
- Keluarga masih belum menerima penjelasan, lalu membuat laporan polis di IPD Dungun.
- Keluarga mahu punca sebenar dikenal pasti, termasuk menyiasat unsur kecuaian atau pengabaian.
- Pihak pengurusan taska perlu dipertanggungjawabkan sekiranya siasatan menemui sebarang kecuaian; bapa hadir bersama isteri dan peguam.
Mohamad Hazrin Kadir, 31, berkata hampir dua minggu selepas kejadian, keluarganya masih belum menerima penjelasan berhubung apa yang berlaku kepada bayinya, Nur Helena Safya Mohamad Hazrin.
Beliau memaklumkan, pihaknya telah membuat laporan polis hari ini, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun, memohon siasatan lanjut dijalankan bagi memastikan keadilan buat arwah anaknya.
“Buat masa sekarang ini saya memang nakkan keadilan untuk arwah anak saya, yang mana saya sendiri pun tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku pada hari kejadian dan sampailah hari ini saya tidak mendapat apa-apa penjelasan daripada pihak berkenaan.
“Jadi, saya hadir untuk membuat laporan, bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya kepada pemberita.
Mohamad Hazrin berkata, ketika isterinya, Nurul Sahuda Rusli, 30, menghantar Nur Helena Safya ke taska berkenaan pada hari kejadian, keadaan bayinya itu sihat seperti biasa.
Menurutnya, keluarga mahu siasatan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, termasuk meneliti sekiranya terdapat unsur kecuaian atau pengabaian dalam penjagaan bayi berkenaan.
Beliau berkata, pihak pengurusan taska perlu bertanggungjawab terhadap keselamatan dan kebajikan anaknya sepanjang berada di premis berkenaan sekiranya siasatan mendapati berlaku sebarang kecuaian.
“Kami mahu siasatan penuh dijalankan supaya dapat ditentukan apa sebenarnya yang berlaku dan sekiranya ada mana-mana pihak yang perlu dipertanggungjawabkan di sisi undang-undang,” katanya.
Mohamad Hazrin hadir membuat laporan polis bersama isterinya serta peguam, Mohd Hazwan Hamidun dan Alif Danial Ahmad Shahfulnizam.
Nur Helena Safya, anak bongsu daripada dua beradik, dilaporkan meninggal dunia di Hospital Dungun pada 7 September lalu kira-kira pukul 12.45 tengah hari selepas ditemui tidak sedarkan diri di taska berkenaan.