
KUALA LUMPUR, 17 September – Penganjuran Karnival Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2026 akan tertumpu kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), selepas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menjadi fokus utama pada sambutan tahun lalu.
- Demonstrasi aset ketenteraan selama dua hari bermula 19 Sept, 8 pagi hingga 7 malam di Pangkalan Lumut, Perak.
- Aset dan anggota TDM serta TUDM dibawa ke Pangkalan TLDM Lumut untuk mempamerkan keupayaan keseluruhan ATM.
- Demonstrasi pasukan khas, operasi maritim melibatkan bot TLDM dan penglibatan helikopter dari ketiga-tiga cabang.
- Aktiviti interaktif keluarga, reruai, persembahan seni, konsert malam dan Sunset Ceremony setiap petang.
Ketua Pengarah Khidmat Sumber Manusia, Bahagian Perkhidmatan Anggota Markas ATM, Laksamana Pertama Farizan Hussain berkata, pelbagai aset dan demonstrasi ketenteraan bakal dipertontonkan sepanjang 2 hari penganjurannya bermula 19 September ini dari pukul 8 pagi hingga 7 malam di Pangkalan Lumut, Perak.
Jelas beliau, aset dan anggota daripada Tentera Darat Malaysia (TDM) serta TUDM turut dibawa ke Pangkalan TLDM Lumut bagi memastikan masyarakat dapat melihat keupayaan keseluruhan ATM.
”Kita ada demonstrasi pasukan khas,demonstrasi Maritim melibatkan bot TLDM termasuk penglibatan helikopter daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan darat, laut dan udara.
”Selain daripada demonstrasi berkenaan, kita juga dapat melihat helikopter ini dengan lebih dekat apabila ia mendarat di markas udara TLDM.
”Di samping itu, aktiviti interaktif bersama keluarga juga disediakan untuk anak-anak seperti pertandingan mewarna,” katanya selepas menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.
Beliau berkata, terdapat juga reruai dan persembahan oleh badan kesenian angkatan tentera, manakala pada malam 19 September, berlangsung konsert.
Sementara itu, acara Sunset Ceremony turut dijadualkan pada setiap petang sepanjang penganjurannya, sebagai salah satu tradisi ketenteraan laut yang diperkenalkan kepada masyarakat.
Karnival berkenaan dijangka menarik lebih 200,000 pengunjung, sekali gus membuka peluang kepada masyarakat, khususnya keluarga dan generasi muda untuk mengenali ATM serta aset pertahanan yang dimiliki negara.
“Penganjurannya bukan sahaja mengetengahkan kecanggihan aset pertahanan, malah memberi ruang kepada masyarakat untuk mengenali anggota ATM yang menjadi tunjang kepada pengoperasian dan kesiapsiagaan pertahanan negara,” ujarnya.