
SAUDARA PENGARANG
- Pengalaman tidak sama dengan pembelajaran; pengalaman mesti diproses melalui refleksi, penilaian dan tindakan untuk menjadi pengetahuan.
- Industri dan komuniti perlu menjadi rakan dalam pendidikan, memberi masalah sebenar, maklum balas dan cabaran keputusan pelajar.
- Pensyarah mesti membimbing, mengaitkan pengalaman dengan teori, membolehkan kesilapan dan menilai kemampuan pelajar selepas program.
Universiti semakin memberikan penekanan kepada pembelajaran berasaskan pengalaman. Pelajar dibawa ke industri, ditempatkan dalam komuniti, dilibatkan dalam projek lapangan dan dipertemukan dengan dunia pekerjaan sebenar.
Arah ini wajar. Namun, kita perlu berhati-hati agar tidak menyamakan pendedahan dengan pembelajaran.
Seorang pelajar boleh menghabiskan sehari di sebuah organisasi, mendengar taklimat, melihat operasi, bertemu kakitangan dan pulang dengan sijil penyertaan. Pengalaman itu mungkin menarik dan bermanfaat.
Tetapi adakah dia benar-benar belajar sesuatu yang mengubah cara dia berfikir? Itulah persoalan yang lebih penting.
Pembelajaran berasaskan pengalaman tidak berlaku hanya kerana seseorang berada di luar bilik kuliah.
Ia berlaku apabila pengalaman tersebut memaksa pelajar menilai keadaan, membuat pertimbangan, mengambil keputusan, menerima teguran dan kemudian memikirkan semula apa yang telah dilakukan. Dengan kata lain, pengalaman perlu diproses menjadi pengetahuan.
Kerangka Experiential Learning and Competency-Based Education Landscape (EXCEL) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi juga bergerak dalam semangat yang sama.
Hubungan dengan industri, komuniti dan dunia pekerjaan bukan dimaksudkan sebagai lawatan semata-mata, tetapi sebagai sebahagian daripada proses membina kompetensi.
Gagasan ini sebenarnya telah lama dibincangkan dalam kesarjanaan pendidikan. David Kolb, misalnya, menegaskan bahawa pengalaman hanyalah salah satu bahagian dalam proses pembelajaran.
Pengalaman perlu disusuli dengan refleksi, pembentukan kefahaman dan penggunaan semula kefahaman itu dalam situasi baharu. Sebab itu tidak semua pengalaman dengan sendirinya bersifat mendidik.
Pelajar undang-undang yang melawat mahkamah mungkin memperoleh gambaran tentang suasana perbicaraan.
Tetapi pembelajaran menjadi lebih bermakna apabila dia diberikan suatu masalah sebenar, diminta menilai fakta yang bercanggah, memilih prinsip undang-undang yang sesuai dan mempertahankan pendiriannya di hadapan pengamal.
Pelajar perniagaan pula tidak semestinya memahami dunia perusahaan hanya kerana pernah melawat sebuah syarikat. Berikan kepadanya masalah sebenar yang sedang dihadapi organisasi.
Minta dia mencadangkan penyelesaian. Biarkan cadangan itu dikritik oleh pihak industri. Kemudian minta dia membaikinya dengan mengambil kira kekangan sebenar.
Begitu juga dalam kerja kemasyarakatan. Kehadiran dalam sesebuah komuniti belum tentu melahirkan kefahaman tentang masyarakat.
Pelajar perlu belajar mendengar, mengenal pasti pertentangan kepentingan, memahami batas sumber dan menimbang akibat sesuatu keputusan terhadap kelompok yang berbeza.
Perbezaannya mudah. Dalam satu keadaan, pelajar hanya melihat. Dalam keadaan yang lain, pelajar menilai, membuat keputusan dan mempertanggungjawabkan keputusan itu. Di situlah pengalaman memperoleh nilai pendidikan.
Masalah timbul apabila pembelajaran berasaskan pengalaman berubah menjadi budaya penganjuran program. Kita mula menghitung bilangan lawatan, jumlah rakan industri, jumlah peserta, jumlah jam, jumlah sijil dan jumlah gambar yang boleh dimuatkan dalam laporan.
Semua itu boleh direkodkan. Tetapi semuanya belum menjawab satu soalan asas: Apakah yang kini mampu dilakukan oleh pelajar dengan lebih baik setelah program itu berakhir? Itulah ukuran yang sepatutnya lebih diberi perhatian.
Jika sebelum program pelajar tidak mampu menilai sesuatu masalah, adakah selepas program dia mampu melakukannya? Jika sebelum ini dia hanya mengetahui teori, adakah kini dia mampu menggunakan teori itu dalam keadaan yang rumit?
Jika dia melakukan kesilapan, adakah dia memahami mengapa kesilapan itu berlaku dan bagaimana keputusan yang lebih baik boleh dibuat pada masa hadapan?
Pembelajaran berlaku apabila pengalaman menghasilkan perubahan pada cara seseorang memahami, menilai dan bertindak.
Di sinilah industri dan komuniti juga perlu dilihat bukan sekadar sebagai tempat penempatan pelajar, tetapi sebagai rakan dalam proses pendidikan. Mereka membawa realiti yang tidak dapat sepenuhnya dicipta dalam bilik kuliah.
Tekanan masa, kepentingan yang bercanggah, sumber yang terhad, manusia yang tidak bertindak seperti dalam buku teks dan keputusan yang mempunyai akibat sebenar.
Pensyarah pula tetap mempunyai peranan yang penting. Pengalaman tanpa bimbingan boleh menjadi sekadar pengalaman. Seseorang masih perlu membantu pelajar menghubungkan apa yang berlaku dengan konsep, teori dan prinsip yang dipelajari.
Seseorang masih perlu bertanya mengapa sesuatu keputusan dibuat, apakah andaian di belakangnya dan apa yang boleh dilakukan dengan lebih baik.
Maka pembelajaran berasaskan pengalaman bukanlah usaha menggantikan pengajaran dengan aktiviti. Sebaliknya, ia menuntut pengajaran yang lebih teliti, kerana pengalaman perlu ditafsir sebelum dapat menjadi ilmu.
Universiti sememangnya perlu membawa pelajar lebih hampir kepada dunia sebenar. Tetapi membawa mereka keluar dari kampus sahaja tidak mencukupi.
Berikan mereka masalah sebenar. Paksa mereka membuat pilihan. Biarkan pilihan itu dipersoalkan. Berikan ruang untuk mereka tersilap.
Kemudian minta mereka menjelaskan apa yang telah dipelajari daripada kesilapan tersebut. Kerana pendidikan yang baik bukan sekadar memberikan pelajar pengalaman.
Pendidikan yang baik mengajar mereka cara memperoleh kebijaksanaan daripada pengalaman.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Profesor Madya Dr Shahrul Mizan Ismail
Fakulti Undang-Undang
Universiti Kebangsaan Malaysia
E-mel: shahrulmizan@ukm.edu.my