Piala ASEAN FIFA: Rajagobal mahu Harimau Malaya tampil yakin tanpa tekanan

Foto MFL

KUALA LUMPUR, 16 Sept – Bekas Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal berharap skuad negara memanfaatkan saingan Piala ASEAN FIFA 2026 di Indonesia sebagai medan menguji kemampuan selain meningkatkan prestasi pasukan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rajagobal mahu pemain turun beraksi tanpa tekanan, fokus kepada perancangan dan pendekatan taktikal barisan kejurulatihan.
  • Jika fokus dan ikut arahan jurulatih, Harimau Malaya berpotensi meraih keputusan positif walaupun bertandang ke Indonesia.
  • Pemain sudah biasa dengan suasana berintensiti tinggi di Indonesia; jangan biarkan penyokong mengganggu fokus pasukan.
  • Harimau Malaya diundi Kumpulan A bersama Indonesia, India dan Singapura; kempen berlangsung 24 Sept hingga 3 Okt.

Beliau berkata pemain perlu turun beraksi tanpa tekanan, sebaliknya memberi sepenuh tumpuan terhadap perancangan serta pendekatan taktikal yang diterapkan barisan kejurulatihan bagi memburu keputusan positif.

“Harapan saya sebagai bekas jurulatih, kita harap pasukan kita akan bermain dengan baik dan berjaya mara ke peringkat seterusnya.

“Pergilah bertandang ke Indonesia walaupun kita tahu bermain di Indonesia bukan sesuatu yang mudah. Kalau kita fokus dan mengikut apa yang diterapkan jurulatih, apa pun boleh berlaku dalam bola sepak.

“Kita tidak boleh fikir inilah pasukan yang kuat atau inilah pilihan. Kalau kita fokus, bermain dengan semangat yang tinggi dan keyakinan, saya ingat kita boleh dapat satu keputusan yang bagus,” katanya.

Mengulas cabaran berdepan penyokong tuan rumah, Datuk Rajagobal berkata pemain negara sudah biasa dengan suasana berintensiti tinggi seperti itu dan tidak seharusnya membiarkannya mengganggu fokus mereka.

“Pemain sudah biasa. Mereka sudah tahu apa yang akan dihadapi dengan suasana di Indonesia, dengan penyokong fanatik Indonesia apabila bermain di situ.

“Saya rasa semua pemain sudah biasa. Kita tidak perlu fikir benda lain, hanya pergi ke situ dan bermain,” jelasnya.

Skuad Harimau Malaya akan berdepan cabaran sengit selepas diundi dalam Kumpulan A Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026 bersama tuan rumah Indonesia, India dan Singapura.

Kempen kejohanan itu dijadual berlangsung dari 24 Sept hingga 3 Okt ini.

Juara setiap kumpulan akan mara secara automatik ke final bagi merebut hadiah kemenangan berjumlah US$1 juta (RM4.09 juta), manakala naib juara kumpulan akan beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.