
KUALA LUMPUR 15 September– Skuad pecut negara kini berada di fasa akhir persiapan menjelang temasya Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun, dengan tekad untuk mempamerkan larian terbaik serta memperbaharui rekod kebangsaan.
- Pemain 4x100 percaya persediaan fizikal dan mental kini terbaik selepas pemulihan kecederaan.
- Setiap pelari dalam kuartet memainkan peranan penting, saling melengkapi untuk catatan terbaik.
- Skuad berhasrat memecahkan rekod kebangsaan serta bersaing untuk pingat hasil keserasian latihan beberapa bulan.
- Shereen yakin, fokus untuk larian terbaik, latihan dalam negara dan kemudahan Institut Sukan Negara membantu persiapan.
Salah seorang pelari skuad 4×100 meter (m) negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee menyuarakan keyakinannya bahawa persediaan fizikal dan mental pasukan kini berada pada tahap terbaik selepas menjalani proses pemulihan kecederaan sejurus tamat kejohanan di Oman.
“Dalam acara 4×100 meter, setiap pelari, sama ada pelari pertama, kedua, ketiga atau keempat, memainkan peranan yang sangat penting.
“Tiada seorang pun yang boleh dianggap kurang penting kerana setiap pelari saling melengkapi untuk menghasilkan catatan terbaik.
“Setiap pelari mempunyai kelebihan dan tanggungjawab masing-masing, termasuk pelari pertama yang bertanggungjawab untuk permulaan, diikuti pelari kedua, ketiga dan keempat dengan peranan masing-masing.
“Jadi, kami berharap dapat memberikan yang terbaik dan cuba memecahkan semula rekod kebangsaan,” katanya di sini.
Mengenai penampilan sulungnya di pentas Sukan Asia 2026, beliau menyifatkan peluang beraksi bersama rakan pelari senior sebagai satu pengalaman berharga yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk mencatat masa peribadi terbaik.
Jelas beliau lagi, kunci utama kuartet ini adalah saling percaya antara satu sama lain.
Meskipun menyedari cabaran sengit yang bakal dihadapi di Jepun, skuad negara tetap meletakkan sasaran untuk membawa pulang pingat serta memecahkan rekod kebangsaan hasil keserasian yang dibina sepanjang latihan beberapa bulan lalu.
Sementara itu, pelari wanita 4×100 campuran dan 400 wanita Shereen Samson Vallabouy berkata beliau kekal yakin dan bersedia untuk memberikan persembahan terbaik bagi menghadapi persaingan sengit daripada pelari luar negara, termasuk pelari pilihan dari Bahrain dan India.
Beliau menyasarkan untuk memberikan larian terbaik serta mengekalkan fokus sepenuhnya sepanjang perlumbaan tanpa membiarkan tekanan persaingan menjejaskan prestasinya.
Walaupun kali ini menjalani persiapan dan latihan di dalam negara, berbeza dengan persiapan menjelang Sukan Asia 2026 sebelum ini, perkara itu tidak menjejaskan prestasinya.
“Ketika saya bertanding di Sukan Asia pada 2023, saya baru sahaja menamatkan pengajian di kolej pada bulan Mei sebelum berpindah ke Amerika Syarikat untuk menjalani latihan di bawah kendalian jurulatih yang berbeza. Jadi, suasananya memang sangat berbeza.
“Namun, saya lebih banyak terdedah kepada persaingan di peringkat tinggi serta menyertai pelbagai kejohanan secara berturut-turut. Pengalaman bertanding dengan kerap sememangnya banyak membantu saya. Saya rasa persaingan di peringkat kolej dan profesional sangat berbeza.
“Tahun ini pula sedikit berbeza kerana saya kurang menyertai pertandingan. Walaupun begitu, ia tetap memberikan pengalaman dalam persekitaran yang berbeza.
“Di Malaysia pula, contohnya di Institut Sukan Negara, kemudahan serta perkhidmatan perubatan yang disediakan sememangnya menjadi satu kelebihan. Jadi, itu antara perbezaan utama yang saya lihat,” katanya.